PRESTASI yang konsisten ditunjukkan pertahanan muda Johor Darul Takzim (JDT), Feroz Baharudin, semakin mencuri perhatian dan dia sudah mula mengetepikan nama-nama besar dalam negara untuk menjadi tonggak utama JDT.
Pemain berusia 23 tahun itu yang sebelum ini meraih penampilan pertama bersama skuad senior berikutan kecederaan yang dialami pertahanan import, Shane Lowry pada musim lalu membuka ruang untuk menunjukkan kehebatannya di atas padang.
Nyata ersembahan Feroz tidak menghampakan pasukan apabila dia bijak membaca gerak-geri lawan serta menggunakan kelebihan fizikalnya untuk menyekat serangan.
Ketenangan dalam melakukan hantaran dan kekentalan menyekat pihak lawan wajar diberi pujian apabila kini skuad Harimau Selatan semakin sukar untuk ditembusi pihak lawan.
Namun disebalik kecemerlangan Feroz bukan sahaja di atas padang turut mendapat pujian penyokong dengan keperibadiannya di luar padang.
Feroz Baharudin ketika bertemu KL City pada minggu lalu. — Facebook/JDT
Menerusi satu video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, Feroz dilihat menyantuni kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.
Dalam video tersebut, Feroz dengan penuh beradab melayani karenah kanak-kanak yang teruja berjumpa dengan pemain muda JDT itu terutama apabila ada yang ingin bermain bola sepak dengannya.
Seorang pengguna media sosial, Muhammad Hafizi Ismail yang mengakui mengenali Feroz berkata, dia cemburu melihat personaliti pemain muda itu yang sentiasa merendah diri dan solat jemaah di masjid.
"Dia ini bagus, faqir kepada ALLAH, setiap kali balik kampung, solat jemaah dekat masjid dari subuh hingga isyak tak tinggal.
"Peramah dengan orang kampung, dia ini budak soleh duduk belakang rumah mentua akui," katanya dalam Instagram.
Feroz Baharudin dalam latihan JDT. — Facebook/JDT
Tambahnya lagi, Feroz sanggup melayani peminat yang ingin bergambar dengannya dan dia turut menghormati pemain muda itu.
"Kadang-kadang mak mentua aku panggil datang rumah cakap ada orang nak bergambar dengannya, dia datang tak sombong.
"Kalau dekat masjid nampak motosikal Yamaha Avantiz tahu dia balik kampung, keluarga dia pun orang yang baik-baik.
"Apa yang dia buat adalah normal sebagai seroang Islam tulen, bukan Islam yang pada mata normal tapi menghalalkan yang haram.
"Walaupun dia muda dari aku, tapi sikap dia itu menegur aku," ujarnya.
Adakah sikap merendah diri Feroz ini rahsia kenapa dia kini menjadi tonggak utama pertahanan meskipun masih muda.
Sebelum ini Feroz pernah dipuji oleh bekas pemain kebangsaan dan penganalisis Liga Malaysia, Rudie Ramli, yang sangat tertarik melihat pertahanan berusia 23 tahun itu yang kian matang dalam corak permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram