IBARAT impian menjadi nyata, itulah yang terjadi pada seorang budak lelaki apabila berpeluang bertemu bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo selepas perlawanan melibatkan kelab Al-Nassr baru-baru ini.
Dalam video tular tersebut, kelihatan Ronaldo memeluk kanak-kanak lelaki yang dikenali Nabil Saeed, 10 berasal dari Syria dengan mesra.
Nabil dijemput ke Arab Saudi selepas dia menyatakan hasratnya kepada pasukan penyelamat mangsa gempa bumi untuk melihat Cristiano bermain dengan kelab baharunya itu.
Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Hiburan Am Arab Saudi, Turki Alalshikh kemudian meminta bantuan bagi mengenal pasti budak lelaki itu di media sosial.
Apabila ditanya dengan siapa dia ingin pergi ke Arab Saudi, Nabil dilaporkan menjawab ‘bapa dan ibunya’ sebelum membetulkan kenyataan itu dalam keadaannya yang penuh beremosi.
Dalam kejadian tragedi gempa bumi yang menimpa Syria dan Turkiye pada Februari lalu, ayah Nabil merupakan antara 45,000 mangsa yang meninggal dunia.
Nabil akhirnya menghadiri perlawanan bola sepak antara Al-Nassr menentang Al-Batin di Stadium Marsool Park bersama ibunya di mana dia bertemu idolanya itu.
Menurut Nabil, dia seperti tidak percaya berada di Arab Saudi melihat pemain kesayangannya itu.
Ketika saat penuh emosi itu berlangsung, Nabil memberitahu pemain berusia 38 tahun itu bahawa dia menyayanginya sebelum dipeluk oleh bekas penyerang Manchester United itu.
Nabil turut meniru sambutan ikonik Ronaldo 'Siu' bersama idolanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram