PENJAGA gawang pasukan Sri Pahang FC, Izham Tarmizi memaklumkan dirinya dalam keadaan sihat selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan antara skuad Tok Gajah dan Negeri Sembilan FC pada Ahad.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh suami kepada selebriti Mia Ahmad itu menerusi satu video ringkas yang dimuat naik di halaman Facebook Sri Pahang FC pada Isnin.
"Alhamdulilah, saya berada dalam keadaan sihat dan baik. Cuma ada sedikit jahitan tetapi tiada masalah.
"Insya-ALLAH, saya akan bangkit untuk perlawanan akan datang. Terima kasih pada penyokong serta sahabat semua yang mendoakan saya. Terima kasih," katanya.
Insiden pada penghujung babak pertama itu menyaksikan Izham terpaksa diusung keluar dan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di kepala.
Kejadian itu berlaku apabila penjaga gol berusia 31 tahun itu bertembung dengan pemain Negeri Sembilan FC, Hasbullah Abu Bakar di dalam kotak penalti.
Akibat dari impak pelanggaran tersebut, Izham dilihat terbaring di atas padang dan mengalami pendarahan di kepala.
Pada perlawanan yang berlangsung di di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, skuad Tok Gajah mencatatkan keputusan seri 1-1 ke atas pasukan tuan rumah.
Sri Pahang bakal menerima kunjungan Kelantan FC di laman sendiri pada Khamis sementara skuad Jang bakal bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk bertemu Negeri Sembilan FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram