Polis jumpa kepala model Abby Choi dalam periuk sup


  • Benua
  • Isnin, 27 Feb 2023

Cebisan badan Abby Choi ditemui di dalam rumah kampung di Tai Po, Hong Kong. — Agensi

POLIS berjaya menemui kepala model dan pempengaruh terkenal, Abby Choi dalam salah satu daripada dua periuk besar yang mengandungi sup dan mayat manusia, beberapa hari selepas dia dibunuh dengan kejam.

Memetik laporan media antarabangsa The Straits Times/ANN, pihak polis pada Ahad mengesahkan menemui kepala dan bahagian badan mangsa dalam periuk besar berkenaan pada Jumaat dari sebuah rumah di daerah Tai Po luar bandar Hong Kong di mana dia dikatakan dibunuh dan disembelih.

Kepala dan tulang rusuk itu dipercayai milik Choi, tetapi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperlukan untuk mengesahkannya.

Lebih menggerunkan lagi, kedua-dua periuk itu diisi hampir penuh dengan sup dan daging cincang dipercayai sisa manusia. Terdapat juga lobak merah dan lobak hijau di dalamnya.

Periuk-periuk itu dibawa ke rumah mayat pada Sabtu dan Ahad sebelum pakar forensik mula meneliti kandungannya.

Ketika itulah mereka menemui kepala dan rusuk, dan dipercayai seseorang memukul kepala mangsa, menurut satu laporan media.

1956674

Choi dilaporkan hilang pada Selasa sebelum dibunuh ahli keluarga bekas suaminya. — Agensi

Polis kini masih meneruskan usaha mencari bahagian badan mangsa yang masih hilang, termasuk tangan dan tubuhnya.

Sebahagian daripada mayat mangsa berusia 28 tahun itu - kakinya ditemui dari peti sejuk pada Jumaat.

Alat penghiris daging, gergaji elektrik, tukul, pelindung muka dan baju hujan hitam turut ditemui di tempat kejadian.

Susulan dari penemuan mayat mangsa itu, empat orang ditangkap, dan tiga daripadanya didakwa. Mereka yang didakwa ditetapkan untuk hadir di mahkamah tempatan pada hari Isnin.

Sebelum ini, bekas suami Choi, Alex Kwong, 28, ditahan pada Sabtu, tetapi masih belum didakwa. Dia dilaporkan dibawa ke hospital selepas mengadu tidak sihat.

Alex ditangkap di jeti Tung Chung di Pulau Lantau, Hong Kong ketika cuba melarikan diri dengan wang tunai dan jam tangan mewah bernilai HK$4.5 juta (RM2.5 juta).

Bapa dan abangnya pula didakwa membunuh pempengaruh tersebut manakala ibu Alex, berusia 63 tahun turut ditahan serta didakwa menghalang kes itu.

Untuk rekod, Choi hilang pada Selasa dan kali terakhir dilihat di daerah Tai Po, Hong Kong tempat mayatnya ditemui oleh pihak berkuasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram