HONG KONG digemparkan dengan penemuan mayat model negara itu, Abby Choi yang dijumpai tanpa kepala di sebuah rumah kampung di Tai Po, terletak di kawasan pinggir bandar.
Menurut laporan media tempatan, sebahagian daripada badan mangsa yang berusia 28 tahun itu telah dikerat-kerat dan dimasak, dengan sebahagiannya disimpan di dalam peti sejuk.
Pembunuhan kejam sedemikian bukanlah kali pertama berlaku di negara tersebut. Berikut merupakan enam lagi pembunuhan ngeri pernah berlaku dan menjadi tajuk utama di Hong Kong sejak beberapa dekad lalu.
1. Pembunuh balang atau tukang daging (1982)
Pada 1980-an, pemandu teksi, Lam Kor-wan mengambil empat wanita, berumur antara 17 dan 31, sebelum bertindak mencekik kesemua mangsa.
Dia kemudian membawa mayat itu ke flatnya, di mana dia memotong badan mangsa dengan gergaji elektrik.
Kor-wan kemudiannya menyimpan organ seksual mangsa ke dalam balang dengan bahan cecair pengawet, formaldehid, tindakan yang menyebabkannya mendapat gelaran "pembunuh balang" atau "tukang daging".
Dia yang kini berusia 67, juga dilaporkan mengambil gambar dan video mangsanya.
Dia ditangkap pada tahun 1982, selepas seorang juruteknik foto menyedari bahawa payudara yang terputus adalah antara imej dihantar Lam untuk dibangunkan sebagai gambar.
Hukuman mati diterimanya ditukar kepada penjara seumur hidup.
2. Pembunuhan Braemar Hill (1985)
Kumpulan samseng terbabit bertindak merogol Nicola sebelum membunuh kedua-dua remaja itu, selepas mendapati mangsa hanya mempunyai HK$1 (57 sen) ketika insiden berkenaan. —Agensi
Dua remaja British tempatan, Kenneth McBride, 17, dan Nicola Myers, 18, dibunuh oleh lima samseng di Braemer Hill, sebuah daerah kediaman lereng bukit kelas atas di timur Midlevels.
Lima lelaki berusia antara 16 dan 25 tahun itu pada mulanya cuba merompak pasangan itu. Bagaimanapun, mereka bertindak merogol Nicola sebelum membunuh kedua-dua remaja itu, selepas mendapati mangsa hanya mempunyai HK$1 (57 sen) ketika insiden berkenaan.
Kumpulan tersebut turut mencederakan rahang Nicola dan menyebabkan kira-kira 500 kesan luka pada badannya. Kenneth pula telah dicekik dan mengalami lebih daripada 100 kesan kecederaan.
Lima lelaki itu ialah: pekerja biasa, Pang Shun-yee, 24; pengawal keselamatan Tam Sze-foon, 20; pelayan, Cheung Yau-hang, 17 dan Chiu Wai-man, 25 serta tukang masak, Won Sam-lung, 16.
Menurut laporan South China Morning Post, Sam-lung yang masih berusia di bawah umur semasa melakukan jenayah itu mengaku melakukan perbuatan tersebut dan ditahan 'dengan izin baginda' tanpa dibicarakan.
Ini bermakna dia dimasukkan ke dalam penjara sehingga dianggap selamat untuk membebaskannya. Sam-Lung bebas pada tahun 2004.
Empat lelaki lain pula dibicarakan dan didapati bersalah membunuh. Shun-yee, Sze-foon, dan Wai-man dijatuhkan hukuman mati, namun hukuman mereka kemudiannya dikurangkan kepada penjara seumur hidup.
Yau-hang, yang juga di bawah umur, juga ditahan di 'dengan izin baginda', dan dibebaskan pada 2007.
3. Pembunuhan Hello Kitty (1999)
Akibat pertikaian hutan, tiga lelaki Hong Kong dilaporkan bertindak menculik pelayan kelab malam Fan Man-yee. Mereka menyeksanya di sebuah flat di Tsim Sha Tsui selama sebulan dengan memukulnya menggunakan palang keluli dan menuang plastik panas pada anggota badan mangsa.
Wanita berusia 23 tahun itu meninggal dunia antara 14 dan 15 April 1999. Lelaki itu membuang mayat mangsa selepas bertindak memotong dan merebusnya.
Tengkorak Man-yee juga disumbat di dalam anak patung Hello Kitty gergasi, menjadikan kes tersebut dikenali dengan nama sedemikian.
Polis tempatan menemui beg organ mangsa yang telah reput di kanopi bangunan semasa menyiasat kes yang tidak berkaitan. Hanya tengkoraknya bersama satu gigi, dan beg organ ditemui.
Pada tahun 2000, tiga lelaki iaitu Chan Man-lok, 34, Leung Shing-cho, 27, dan Leung Wai-lun, 21 telah didapati bersalah atas tuduhan membunuh.
Tengkorak Man-yee disumbat di dalam anak patung Hello Kitty gergasi. — Facebook/N/a
Mereka dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Bagaimanapun, Shing-cho berjaya merayu sabitan kesalahannya, dan kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun berikutan perbicaraan semula.
Dia dibebaskan dari penjara pada 2011 tetapi kembali ke penjara pada Ogos 2022 kerana menyerang seorang gadis berusia 10 tahun secara tidak senonoh.
4. Membunuh ibu bapa (2013)
Pemain piano, Henry Chau Hoi-Leung menjemput ibu bapanya untuk makan di flatnya. Kedua-dua orang tuanya, Chau Wing-ki, 65, dan Siu Yuet-yee, 63, tidak menyedari nasib bakal menimpa mereka.
Pasangan itu dibunuh dengan cara lehernya dikelar. Rakan kepada Hoi-leung, Tse Chun-kei turut membantu memotong mayat mangsa yang kemudiannya diletakkan dengan garam sebelum dimasak.
Mereka cuba menghidangkannya seperti daging babi bakar dan menyejukkan baki bahagian badan mangsa di dalam bekas makan tengah hari.
Hoi-leung kemudiannya mengaku melakukan jenayah tersebut melalui satu kumpulan WhatsApp.
South China Morning Post melaporkan Hoi-leung telah merancang pembunuhan itu enam bulan lebih awal. Dia mendakwa membenci ibu bapanya dan menyalahkan kegagalan dalam hidup dan cintanya atas kegagalan mereka.
Pembunuh kejam itu berkata, bapanya enggan mengurangkan kelantangan suara daripada televisyen ketika dia cuba belajar.
Pada masa sama, dia marah dengan ibunya kerana mengaibkannya di hadapan gadis dicintainya pada hari lahirnya ke-24. Hoi-leung juga menyalahkan ibunya kerana memaksanya belajar piano dan bersikap kecewa apabila dia gagal memberi sumbangan kepada keluarga.
Hoi Leung memberitahu pakar psikiatri hasratnya untuk mencapai sesuatu yang penting sebelum dia berumur 30 tahun. Dia kemudiannya merancang membunuh diri kerana dia merasakan akan gagal melakukannya.
Hoi-leung juga mendakwa selepas memberitahu rancangannya kepada Chun-kei pada September 2012, rakannya itu memberi inspirasi kepadanya untuk berfikir bagi membunuh ibu bapanya.
Pada 2015, dia yang berusia 31 tahun didapati bersalah atas dua pertuduhan membunuh manakala Chun-kei dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan, walaupun mengakui terlibat membantu rakannya menguruskan mayat pasangan tersebut.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara satu tahun, kerana peranan kecil yang dimainkannya itu dalam insiden berkenaan. Tse dibebaskan dari penjara pada 2015 selepas menjalani tahanan reman selama dua tahun.
5. Pembunuhan bola yoga (2015)
Kim memberitahu rakan sekerjanya bahawa dia merancang untuk menggunakan gas itu terhadap arnab dalam satu eksperimen. —Agensi
Seorang doktor Malaysia yang tinggal di Hong Kong, Khaw Kim Sun membunuh isterinya, Wong Siew Fing, 47, dan anak perempuan, Lily Khaw Li Ling, 16, dengan bola yoga yang diisi dengan karbon monoksida di dalam kereta mereka.
Pasangan itu ditemui mati di tepi jalan dengan menaiki Mini Cooper berwarna kuning dipandu Siew Fing.
Pendakwa raya mendakwa bola yoga boleh kembung itu telah diletakkan di dalam but kereta oleh Kim Sun, dengan rakan sekerjanya melihat dia mengisi dua bola yoga terbabit dengan gas karbon monoksida.
Kim memberitahu rakan sekerjanya bahawa dia merancang untuk menggunakan gas itu terhadap arnab dalam satu eksperimen.
Bagaimanapun, dia kemudian memberitahu polis bahawa ia bertujuan untuk menghilangkan tikus di rumah.
Kim Sun turut berkata dia memasukkan dua bola itu ke dalam kereta dan mengempiskan salah satu daripadanya pada hari berikutnya kerana ia bocor.
Ketika perbicaraan, pendakwa raya mendakwa Kim Sun menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pelajar namun Siew Fing enggan menceraikannya.
Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2015. Pada 2022, Kim Sun, yang berusia 57 tahun, merayu terhadap hukuman diterimanya tetapi ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
6. Profesor universiti bunuh isteri (2018)
Seorang profesor disenangi namun berhadapan dengan masalah rumah tangga bertindak membunuh isterinya dan memasukkan mayatnya ke dalam beg pakaian.
Kerana berbuat demikian, bekas profesor daripada Universiti Hong Kong, Cheung Kie Chung, 56, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2020.
Kie Chung mengaku membunuh Tina Chan, 53, pada 2018 di kediaman mereka di Dewan Wei Lun, universiti itu, di mana dia bertugas sebagai warden.
Dia mencekik isterinya dengan wayar kabel semasa mereka berada di atas katil pada waktu malam. Mereka dilaporkan bertengkar, dengan Chan memarahi Kie Chung kerana tidak menyokongnya semasa perselisihan faham dengan anak perempuan mereka.
Dia kemudian menyembunyikan mayat itu di dalam beg pakaian hijau dan meninggalkannya di balkoni.
Bagi mengelakkan daripada bau busuk mayat tersebut dihidu, Kie Chung membeli enam papan kayu dan mencipta 'keranda' menyembunyikan mayat tersebut. Dia kemudiannya memindahkan 'keranda' itu ke pejabat universitinya.
Kie Chung membuat laporan kehilangan. Bagaimanapun, polis mula curiga selepas mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Kie Chung mengangkut kotak kayu besar dari asrama ke pejabatnya di universiti.
Pegawai kemudian menyerbu pejabatnya dan menemui beg pakaian yang berdarah dan berbau busuk di dalam kotak kayu. —The Star