'Kaki sailang', licik hinggakan waris terpaksa berhutang akibat helah kartel urus jenazah


  • Massa
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Selain Covid-19, sindiket kartel pengurusan jenazah juga mengenakan bayaran tinggi terhadap pengurusan jenazah pesakit Aids.  — Gambar hiasan

BERSELINDUNG di sebalik nama pengurusan jenazah, itulah taktik licik yang digunakan oleh sindiket kartel pengurusan jenazah yang dilihat kembali berani kebelakangan ini.

Modus operandinya sama seperti sebelum ini dan ia sangat mudah. Ada individu tertentu akan menghubungi sindiket ini terlebih dahulu untuk memaklumkan mengenai jenazah baharu yang diterima.

Selepas itu, kumpulan pengurusan jenazah akan meminta maklumat serta nombor telefon keluarga si mati dan menggunakan kepakaran akan membuatkan waris keliru mengenai caj pengurusan.

Tumbuh bak cendawan selepas hujan, sindiket itu dipercayai wujud di seluruh negara dan memperoleh pulangan puluhan ribu ringgit sehari.

WhatsApp Image 2023-02-24 at 09.05.19

Pengasas Bersama Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih, Shahrol Mohamad mendakwa, sindiket kartel pengurusan jenazah itu beroperasi secara senyap-senyap untuk mengelak perbuatan mereka diketahui masyarakat.

"Tindakan individu yang bersekongkol dengan sindiket pengurusan jenazah ini sanggup membutakan mata dan pekakkan telinga.

"Modus operandi mereka mudah, mereka akan awal-awal 'sailang' keluarga waris daripada sukarelawan pengurusan jenazah.

"Saya boleh katakan semuanya berpunca daripada dalang yang dibayar komisen tinggi.

"Individu terbabit ini akan meminta dan menerima wang suapan daripada individu tertentu, sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah," dakwanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut, Shahrol yang lebih mesra dengan panggilan Abang Chik berkata, apabila ada kematian, kos maksimum untuk waris belanjakan bagi menguruskan dan mengkafankan jenazah adalah kira-kira RM350 sahaja dan ia termasuk barang-barang yang digunakan untuk jenazah berkenaan.

"Tetapi apabila sindiket ini ambil alih, kos itu terus mencanak naik bermula dari RM600 sehingga ribuan ringgit.

"Jika penyakit berjangkit seperti Covid-19, virus kurang imun (HIV) atau Aids sepatutnya tidak dikenakan bayaran tetapi sindiket licik ini tetap mengenakan bayaran kepada waris.

"Sebab mereka tahu waris tidak pandai menguruskan jenazah itu sendiri, mereka akan caj lagi mahal. Beribu ringgit mereka kenakan bayaran. Bayangkan dalam situasi ini, sampai ada waris yang berhutang.

"Mereka pandai memanipulasi waris dengan pelbagai alasan dan ketika ini juga dalang yang akan memainkan peranan mereka untuk 'memaksa' waris menggunakan khidmat sindiket pengurusan jenayah ini.

1952638

Sindiket kartel pengurusan jenazah dipercayai mengenakan bayaran tinggi terhadap pengurusan jenazah Covid-19. — Gambar hiasan

Tambahnya lagi, perkara itu bukan sahaja melibatkan pihak tertentu tetapi berlaku dalam kalangan ahli masjid dan surau.

"Kenyataan yang sukar diterima tetapi inilah realiti yang berlaku dalam kartel pengurusan jenazah sekarang. Manusia lebih mementingkan duit berbanding dosa dan pahala mereka.

"Saya bagi contoh, kalau ada orang yang meninggal di sesebuah kawasan, ada dalam kalangan ahli jawatankuasa surau dan masjid akan mengambil peluang ini. Tidak semua tapi memang pernah berlaku," luahnya.

Abang Chik juga berkata, warga asing turut menjadi mangsa kepada sindiket kartel pengurusan jenazah ini.

"Kos penghantaran pulang warga asing sebenarnya tidak memakan belanja yang besar dan bayaran penghantaran bergantung kepada tempat jenazah dihantar.

"Tetapi bila dapat pada sindiket ini, mereka akan caj sampai RM6,000 hingga ke RM10,000. Cekik darah!

"Saya juga nak nasihatkan pada kawan-kawan di Sabah dan Sarawak, sekiranya ada saudara mara yang meninggal di Semenanjung, rujuk dulu pada pihak yang sepatutnya.

"Boleh cari mana-mana organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah atau menghubungi saya sendiri. Kami akan bantu agar waris tidak tertipu dengan 'ulat' pengurusan jenazah ini.

"Kita nak memudahkan pengurusan mayat dan meringankan beban keluarga," katanya.

Menjawab persoalan sama ada pihaknya diugut oleh sindiket berkenaan ketika menguruskan jenazah, Abang Chik berkata, perkara sedemikian tidak berlaku.

"Mereka tidak pernah mengugut atau mengancam kami. Ini kerana mereka takut sindiket mereka terbongkar.

"Mereka boleh dikatakan takut dan 'seriau' dengan kami tapi itulah, licik. Mereka ini sangat licik, lebih-lebih lagi apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula memantau pergerakan mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram