POLIS menahan tiga suspek disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam model, Abby Choi, dipercayai berpunca daripada pertikaian kewangan dengan keluarga bekas suaminya.
Menurut Polis Hong Kong, Choi, 28, yang pernah muncul di muka depan majalah fesyen digital L'Officiel Monaco minggu lalu, ditemui di sebuah rumah yang dijadikan seperti tempat 'penyembelihan'.
"Kami masih mencari kepala mangsa," kata Superintendan Alan Chung kepada pemberita, selepas mendedahkan anggota badan wanita itu ditemui di dalam peti sejuk.
Gergaji elektrik dan pengisar daging turut ditemui di rumah itu yang disyaki digunakan untuk mengisar daging manusia, tambahnya.
Chung berkata, dua periuk rebusan dipercayai mengandungi tisu manusia turut dijumpai di tempat kejadian.
Gambar kecil merupakan individu dipercayai bekas suami kepada model tersebut. — Agensi
Bapa, ibu dan abang kepada bekas suami Choi sudah ditahan dan akan menghadapi tuduhan membunuh.
Bekas suami model itu juga ditahan pada Sabtu dan berdepan pertuduhan sama.
"Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai banyak pertikaian kewangan membabitkan jumlah yang besar.
"Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya, yang menjadi motif untuk membunuh," katanya.
Keluarga bekas suami Choi sebelum ini berbohong untuk mengelirukan penyiasat. — Agensi
Choi dilaporkan hilang pada Rabu lalu.
Dia dikatakan kali terakhir dilihat oleh abang bekas suaminya, yang juga bekerja sebagai pemandunya.
Polis berkata, keluarga itu sebelum ini berbohong untuk mengelirukan penyiasat.
Sementara itu, rumah yang disewa tanpa perabot baru-baru ini memberi petunjuk kepada polis ia digunakan untuk membuang mayat model tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram