Empat warga emas maut kereta bertembung treler muatan batu arang di Taiping


  • 112
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas bertembung dengan treler muatan batu arang . — Bomba

EMPAT warga emas maut selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah treler muatan batu arang di Jalan Sungai Baru,Trong, Taiping, Perak pada Jumaat.

Keempat-empat mangsa, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.31 petang.

Menurutnya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diketuai oleh Penolong Bomba Kanan 2, Mohd Rizan Shahrudin, segera kelokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Kemalangan membabitkan sebuah treler muatan arang batu bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan mengakibatkan empat mangsa tersepit.

"Kesemua mangsa masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 63 hingga 77 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram