SEBELUM ini, penduduk Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, Johor digemparkan dengan kes pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki ekoran perselisihan faham dan pertengkaran mulut sehingga mengakibatkan kecederaan.
Susulan kejadian tersebut, polis memburu 10 individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran ketika suspek dan mangsa sedang minum minuman keras.
Terbaharu, satu lagi kes pergaduhan berlaku di taman yang sama pada Ahad apabila tular video yang menunjukkan beberapa lelaki memukul mangsa yang sudah terbaring di atas jalan raya.
Perbuatan beberapa individu itu dihalang oleh seorang lelaki daripada terus menerus memukul mangsa yang dilihat tidak mampu untuk bergerak lagi.
Selepas dihalang, suspek terbabit bergegas ke lokasi berdekatan dan menyambung pergaduhan mereka dengan beberapa individu lain.
Manakala, individu yang menyelamatkan mangsa sedang memeriksa keadaan lelaki terbabit yang dilihat menahan kesakitan dan tidak mampu bergerak.
Berdasarkan video berdurasi 21 saat itu, difahamkan kejadian berlaku di belakang pasar raya TF Value-Mart Nusa Bestari, Taman Nusa Bestari.
Setakat ini tidak dapat dipastikan punca kejadian itu berlaku.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, netizen memberikan pelbagai reaksi berhubung insiden pergaduhan tersebut.
"Empat lawan satu? Kalau 1 lawan 1 belum tahu lagi tu berani ke tidak, harap PDRM kutip semua," kata Jaroob Apai.
"Nak tunjuk samseng depan orang-orang macam itulah jadinya," ujar Mat Tapau.
"Ini semua tinggal tunggu polis tangkap saja,dapatlah makan free semua ni kuat mabuk saja," jelas Jaslin Sinalau.
Setakat ini pihak berkuasa masih belum ada sebarang kenyataan berhubung kejadian pergaduhan itu.
Perbuatan ini tidak seharusnya menjadi teladan tetapi ia dipaparkan supaya orang ramai berhati-hati dalam apa juga keadaan dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram