[VIDEO] Pelajar MIAT dari Langgar dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Rhu


  • 112
  • Ahad, 19 Feb 2023

Tangkap layar video orang ramai sedang mencari Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli (kanan) yang dikhuatiri lemas.

SEORANG pelajar Kejuruteraan Penerbangan Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi ketika sedang mandi-manda di pantai itu bersama rakannya, lewat petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, pada pukul 7.20 malam Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa serta beberapa rakannya sedang berenang di pantai itu sebelum dipercayai lemas dan mangsa cuba diselamatkan rakan-rakan serta pelancong, namun gagal kerana alun air kuat.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepasukan 57 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela. Operasi ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam dan disambung semula pada pagi ini (Ahad)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Shariman berkata, mangsa yang beralamat di Langgar, Alor Setar itu, bersama rakan-rakannya dikatakan baru dua minggu berada di pulau pelancongan berkenaan bagi menjalani latihan industri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram