TATKALA penduduk dunia menjadikan padang sebagai lokasi gah bagi perlawanan bola sepak, namun ia berbeza dengan Turkiye.
Penduduk di negara itu sebaliknya menjadikan padang bola sepak di bandar Pazarcik sebagai tanah perkuburan, bagi mangsa korban gempa bumi yang melanda Turkiye.
Tiang gol masih terpacak, namun padang itu dipenuhi kira-kira 100 parit sebagai lubang kubur.
Setiap kubur yang baru digali ditanda dengan papan kayu bertulis tarikh kematian sama - 6 Februari 2023 - apabila negara itu musnah akibat gempa bumi paling dashyat dalam sejarah moden Turkiye.
"Kami menunggu selama 10 hari untuk mendapatkan mayat dari bawah runtuhan," kata Huseyin Akis, lelaki yang mengebumikan anak saudaranya bersama suami serta dua anak lelakinya.
Pada masa sama, selendang merah dililitkan pada papan kayu yang dijadikan sebagai batu nisan, manakala pokok pine dibiarkan hidup di atas permukaan kubur.
Di sebuah tanah perkuburan di Kahramanmaras, beribu-ribu kubur baharu dikesan melebihi jumlah sebelum bencana itu.
Khemah juga didirikan untuk melakukan upacara pengebumian umat Islam, termasuk mengkafankan jenazah.
Keranda kosong sudah tersedia dan dilonggokkan di suatu tempat.
Sementara itu, para ulama bersiap sedia untuk melaksanakan upacara itu dan membaca talkin.
Orang ramai membawa mayat ke kubur. Suasana sayu mula menyelubungi apabila suara bacaan doa turut diiringi bunyi jengkaut yang menggali lebih banyak lubang kubur.
10,000 pengebumian
Bacaan talkin kepada mangsa gempa bumi yang dikebumikan di Kahramanmaras baru-baru ini. — Agensi
Bercakap di tanah perkuburan Kahramanmaras minggu ini, Timbalan Ketua Direktorat Hal Ehwal Agama Turkiye, Burhan Isleyen berkata, usaha untuk mengebumikan mayat yang ditemui dari runtuhan adalah rumit.
"Kami melakukan sekitar 10,000 pengebumian manakala proses itu harus dijalankan dengan segera," katanya yang menegaskan pentingnya jenazah dikebumikan secepat mungkin.
Gabenor bandar Kirikkale, Bulent Tekbiyikoglu berkata, pihak berkuasa bergelut dengan masalah memperoleh dan mengebumikan mayat sejak gempa bumi.
Beliau berkata, kakitangan Ghassals, perkhidmatan pengebumian jenazah Islam sudah bekerja bergilir-gilir bagi menguruskan mangsa bencana itu.
Waris juga bekerjasama dengan penyiasat untuk mengenal pasti mayat ahli keluarga mereka yang terkorban.
Pada masa sama, ramai lagi yang masih menunggu untuk mencari mayat ahli keluarga masing-masing.
Jumaat lalu, ribuan penduduk Turkiye mengambil bahagian dalam upacara pengebumian untuk mangsa korban yang masih berada di bawah runtuhan.
Setakat ini, jumlah mangsa korban di Turkiye sudah mencecah 39,672 orang, manakala media antarabangsa melaporkan lebih 5,800 terkorban di Syria akibat gempa bumi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram