[VIDEO] Curi harta mangsa gempa bumi, 3 suspek lunyai dibelasah polis Turkiye


  • Benua
  • Selasa, 14 Feb 2023

Tangkap layar beberapa individu ditahan dan dibelasah polis kerana mencuri.

SUSULAN tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye baru-baru ini, beberapa pihak didakwa mengambil kesempatan dalam situasi itu apabila mencuri barangan berharga mangsa insiden tersebut.

Beberapa individu ditahan atas kesalahan terbabit dan menerima hukuman dera oleh polis Turkiye.

Dalam sebuah rakaman tular di laman Twitter, tiga individu lelaki dipukul dan dilibas berulang kali dengan tali pinggang atas kesalahan yang dilakukan.

Bencana gempa bumi di negara itu memaksa penduduk yang terdesak mencari bekalan keperluan harian untuk mencuri barangan bukan sahaja daripada mangsa tragedi malah dari premis kedai yang terputus bekalan utama.

Angka korban tragedi itu sudah melebihi 28,000 penduduk dengan usaha pencarian masih lagi diteruskan oleh pasukan keselamatan.

Presiden Turkiye, Recep Erdogan berkata, beliau akan menggunakan kuasanya untuk menghukum sesiapa yang melanggar undang-undang.

Laporan media di Turkiye pada Isnin melaporkan bahawa seramai 48 individu ditangkap atas kesalahan merompak dan memiliki senjata api.

Justeru, Erdogan berikrar bahawa hukuman berat akan dikenakan bagi mereka yang terlibat dalam jenayah di kawasan yang terjejas.

“Individu yang terlibat dalam aktiviti mencuri perlu tahu bahawa mereka akan berhadapan dengan hukuman tegas,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram