[VIDEO] 'Misi selesai, terima kasih atas jasa', pasukan penyelamat gempa bumi Turkiye kenang Proteo sebagai anjing kuat dan rajin


  • Benua
  • Selasa, 14 Feb 2023

Anjing penyelamat dari Mexico, Proteo mati ketika menjalankan misi menyelamat gempa bumi di bandar Adıyaman, Turkiye, pada Selasa. — Agensi

SEEKOR anjing penyelamat yang dibawa dari Mexico menghembuskan nafas terakhirnya ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di di bandar Adıyaman, Turkiye, pada Selasa.

Anjing yang dinamakan Proteo itu dibawa ke negara Eropah itu selepas bencana alam itu meragut lebih daripada 35,000 nyawa sejak 8 Februari lalu.

Perkara tersebut dilaporkan Kementerian Pertahanan Mexico menerusi satu kenyataan pada Ahad yang mengatakan, 'Terima kasih Proteo atas jasa anda, anda sudah memenuhi misi menyelamat tentera negara ini.'

Sementara itu, Menteri Pertahanan Luis Cresencio Sandoval mengumumkan kematian anjing jenis “shepherd” dari Jerman yang dipanggil Proteo pada sidang akhbar harian Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

“Anda sudah menyelesaikan misi... terima kasih atas jasa yang diberikan,” kata kenyataan tentera Turkiye di Twitter.

Menurut laporan agensi media antarabangsa, punca kematian anjing berkenaan masih tidak dikenal pasti, namun ia difahamkan berpunca daripada keletihan selepas berhari-hari terlibat dalam operasi tersebut.

Salah seorang tentera yang menyertai kerja-kerja pencarian itu berkata, dia cukup bangga dengan sumbangan Proteo selain mengakui keberanian haiwan itu.

Proteo merupakan salah seekor daripada 10 anjing yang dibawa dari Mexico untuk mencari mangsa tertimbus dalam runtuhan gempa bumi berkenaan.

Tinjauan di media sosial turut mendapati orang ramai cukup mengagumi sumbangan dan usaha anjing itu dengan ada yang turut mendesak pihak berkuasa untuk menerangkan punca kematian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram