[VIDEO] Wanita nekad selamatkan keluarga redah banjir ketika kepala air deras


  • Benua
  • Khamis, 16 Feb 2023

Tangkap layar video ketika wanita dan keluarganya cuba menyelamatkan diri daripada banjir yang melanda kampungnya.

SEORANG wanita bertindak nekad apabila memandu kereta untuk meredah kepala air ketika banjir baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Dayna Nuku yang membawa keluarganya di dalam kereta itu sempat merakam kejadian tersebut.

Video berkenaan dimuat naik di laman TikTok dan mendapat lebih sejuta tontonan setakat ini.

"Saya hanya risaukan anak-anak saya," katanya kepada pemberita.

Selasa lalu, kampung halamannya ditenggelami air selepas dibadai taufan Gabrielle di Omahu, New Zealand.

Ini menyebabkan ratusan penduduk memutuskan untuk berpindah, manakala sekurang-kurangnya empat orang terkorban termasuk seorang kanak-kanak.

Nuku yang juga ibu kepada lima anak itu berkata, dia tidak menerima sebarang notis pemindahan selain tidak menyangka kediamannya dilanda banjir teruk.

"Oleh itu, kami hanya angkat mana-mana barang yang sempat dan mendukung anak sebelum berpindah keluar dari rumah," katanya.

Dalam video sama, Nuku yang membawa bersama abang dan kakak iparnya di dalam kereta berkenaan cuba sedaya upaya menaiki jambatan di Sungai Ngaruroro yang dinaiki air.

Kepala air yang semakin dahsyat menyukarkan keadaan, namun mereka akhirnya selamat tiba di jambatan tersebut.

"Saya rasa tiada siapa yang akan datang menyelamatkan kami dan satu-satunya jalan keluar adalah dengan melalui jambatan.

"Saya tahu ia mungkin kelihatan berisiko tetapi kami tahu ia adalah keputusan terbaik untuk anak-anak saya," katanya yang kini tinggal di Flaxmere. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram