Pasangan kekasih tergantung terbalik 55 meter di udara selepas terjun bungee gara-gara teman wanita ketakutan


  • Benua
  • Rabu, 15 Feb 2023

Tangkap layar aksi pasangan tersebut kekal berpelukan ketika masih bergantung selepas melakukan terjun bungee di barat daya China. — Agensi

SEBUAH video pasangan suami isteri menjadi tular susulan aksi mereka berpelukan ketika masih bergantung selepas melakukan terjun bungee di barat daya China menarik perhatian ramai.

Menurut laporan dari Guizhou TV, insiden itu berlaku pada 11 Februari lalu di Taman Hiburan Shengming di Chongqing.

Apabila lompat bungee pasangan itu tamat, tali yang sepatutnya mereka gunakan untuk kembali ke platform setinggi 55 meter sepatutnya diturunkan secara automatik kepada suami isteri itu.

Bagaimanapun, mereka enggan menyambungkan mekanisme keselamatan tali itu kepada abah-abah di pinggang mereka sebaliknya pasangan tersebut tetap memilih untuk tergantung terbalik di udara.

“Apabila kami memberitahu mereka harus meninggalkan tapak itu, mereka berkata tidak mahu turun. Mereka hanya mahu terus berada di udara. Mereka mahu meluahkan rasa cinta di udara.

"Ia bukan kemalangan sama sekali,” kata seorang pekerja taman yang enggan mendedahkan namanya kepada Guizhou TV.

Akhirnya, seorang pekerja di taman berkenaan terpaksa meluncur ke bawah tali untuk membantu pasangan itu memasang mekanisme keselamatan pada abah-abah mereka supaya boleh diangkat ke platform.

Wakil taman itu berkata, kakitangannya telah menunjukkan kepada pasangan itu cara mengikat mekanisme keselamatan sebelum mereka memulakan lompatan.

Kakitangan tersebut berkata, selepas pasangan itu diturunkan, mereka dinasihatkan untuk tidak kekal tergantung terlalu lama kerana khuatir akan menjejaskan keselamatan.

Pasangan itu dilaporkan tidak cedera meskipun melakukan aksi sedemikian rupa.

Video aksi itu telah menjadi tular dalam talian dan ditonton lebih daripada empat juta kali di Douyin dan lima juta kali di Weibo, dengan kebanyakan komen mengkritik pasangan tersebut.

Namun begitu, pendapat umum berubah beberapa hari kemudian apabila jurulatih yang bekerja di taman lompat bungee memberikan penjelasan berbeza terhadap aksi pasangan itu.

Menurut jurulatih Chen Renping, pasangan itu tinggal di udara lebih lama daripada yang diperlukan kerana wanita itu sangat takut sehingga dia memegang teman lelakinya dengan erat.

Akibat perasaan takut tersebut, wanita berkenaan dia tidak dapat menghulurkan tangannya untuk mengaktifkan mekanisme keselamatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram