[VIDEO] Pencuri lapar tinggal nota minta maaf lepas pecah masuk kedai


  • Benua
  • Khamis, 26 Jan 2023

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mencuri di sebuah kedai sebelum dia meninggalkan satu nota meminta maaf. — Agensi

PEROMPAK yang memecah masuk sebuah kedai peralatan elektrik di wilayah Chiang Mai di utara Thailand pada Ahad sempat meninggalkan sebuah nota sebelum melarikan wang berjumlah lebih daripada 12,000 baht (RM1,570).

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, suspek berusia 30an hanya berbekalkan lampu suluh ketika memecah masuk kedai tersebut yang terletak bersebelahan Kuil Wat Tha Mai-i di daerah Chiang Mai Mueang.

Kejadian itu berjaya dirakam kamera litar televisyen tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Suspek yang menggunakan pelitup muka kemudiannya dilihat tenang membuka mesin tunai kedai tersebut.

Difahamkan, suspek hanya mengambil masa 15 minit sebelum dia meninggalkan kedai tersebut.

Memetik laporan media antarabangsa, Thaiger News, jumlah sebenar kerugian yang ditanggung oleh pemilik kedai tersebut ialah sebanyak 12,213 baht (RM1,590).

Walaupun ia dilihat seperti kes rompakan yang biasa namun apa yang menarik ialah tindakan suspek yang sempat meninggalkan nota dan meminta maaf.

"Maaf, saya belum makan," tulis perompak tersebut di atas sebuah kertas.

Menurut pemilik kedai, Jatupol berusia 36 tahun, tidak menyedari kedainya dirompak sehingga pagi Isnin ketika dia pergi ke tempat kerja.

"Saya syak pencuri itu melakukan rompakan pada malam Sabtu kerana kedai ditutup pada hari Ahad. Suspek mungkin penduduk tempatan dan ini adalah kali pertama kedai saya dirompak," katanya.

Menurut Jatupol, dia pada mulanya berasa kasihan terhadap perompak tersebut namun bertindak untuk membuat laporan polis kerana melibatkan kerugian yang banyak.

"Tahun lalu, kotak derma di Kuil Wat Tha Mai-i berhampiran dicuri dan saya tidak menyangka kedai saya menjadi sasaran pada tahun ini.

"Saya berharap pencuri itu akan segera ditangkap agar orang lain tidak menjadi mangsa," katanya.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa tempatan masih cuba untuk mengesan suspek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram