Isu bakar al-Quran, Turkiye larang lawatan Menteri Pertahanan Sweden


  • Benua
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Pihak penyelamat melakukan operasi memadam kebakaran melibatkan al-Quran yang dilakukan pengganas di Sweden pada 2022. — Gambar hiasan/ Agensi

TURKIYE membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara itu, sebagai tindak balas terhadap Sweden yang membenarkan pembakaran al-Quran baru-baru ini.

Tindakan membakar kitab suci umat Islam itu dicadang dilakukan berhampiran Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

"Kami kesal apabila tiada sebarang tindakan diambil terhadap perkara keji ini.

"Oleh itu, lawatan menteri itu ke Turkiye pada 27 Januari ini menjadi sesuatu yang tidak bermakna dan kami membatalkannya," kata Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada mesyuarat negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Pangkalan Udara Ramstein di Jerman.

Pengumuman itu dibuat selepas ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan dikatakan sudah menerima kebenaran untuk membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm.

Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm, yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

Namun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas, termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

Pada Jun lalu, Turkiye dan kedua-dua negara Nordic itu menandatangani memorandum pada sidang kemuncak NATO untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara, merintis jalan bagi menjadi ahli dalam perikatan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram