SEBILANGAN kenderaan sering meletakkan pelekat tertera kalimah suci al-Quran atau kalimat nama ALLAH SWT dan Rasulullah SAW pada kenderaan khususnya di cermin belakang.
Tidak dinafikan perbuatan itu secara tidak langsung dapat memberi keinsafan kepada pemandu lain yang melihat sekali gus mengingatkan kita kepada al-Quran.
Namun, bagaimana pula sekiranya pelekat tersebut mengundang kritikan apabila pemilik kenderaan memandu secara sambil lewa dan berbahaya.
Tentu sahaja tindakan itu akan mengundang perasaan marah kepada pihak lain sehingga tanpa sedar mengeluarkan kata-kata kesat.
Pendapat tentang ketidaksesuaian terhadap penggunaan pelekat kalimah al-Quran mungkin bermain-main di minda terutama apabila melihat cara pemanduan yang melulu.
Melihat kepada situasi itu, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berpandangan itu bergantung kepada penerimaan masing-masing.
Tujuan pelekat itu diletakkan adalah untuk nasihat, namun mungkin kerana tingkah laku yang kurang ‘molek’ mengakibat mesej tersebut disalah erti.
Menurut pandangannya, meletakkan pelekat kalimah al-Quran pada kenderaan tidak menjadi salah selagi tidak merendah-rendahkan seperti meletakkannya pada bahagian bawah yang berkemungkinan boleh dipijak atau sebagainya.
“Pelekat itu diletakkan selari dengan tempat duduk. Jadi ditempat pada bahagian tinggi, insya-ALLAH kalimah tersebut akan dihormati.
“Namun berhati-hati kerana bimbang jika diletakkan terlalu rendah, berkemungkinan akan dipijak terutama ketika hendak mencuci kereta,” jelasnya.
Mohd Yusof turut menasihatkan agar pemilih kenderaan seharusnya menghormati pelekat kalimah al-Quran yang diletakkan pada kereta agar tidak dipandang serong terutama kepada mereka bukan beragama Islam.
Situasi begini bimbang akan menjejaskan imej agama kerana perbuatan memandu secara berbahaya bukan sahaja mengancam nyawa, tetapi turut mengundang perasaan marah.
“Seperti yang saya katakan, hormati dan pelihara kalimah al-Quran sebaik-baiknya. Jangan biarkan kata-kata nista atau caci maki daripada orang lain kerana bimbang akan mengundang fitnah,” terangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram