KES kebakaran melibatkan gedung tekstil terkenal, Wisma Jakel di cawangan Shah Alam, Selangor benar-benar mengejutkan orang ramai kerana lokasi itu cukup terkenal sebagai tempat tumpuan menyediakan busana untuk sambutan Aidilfitri dan majlis perkahwinan.
Kebakaran pertama berlaku di Wisma Jakel kira-kira pukul 7 pagi pada Ahad lalu yang memusnahkan 80 peratus ruang premis dan dipercayai akibat litar pintas.
Kebakaran juga memakan masa sehari suntuk untuk dipadamkan oleh pasukan bomba.
Namun, kira-kira pukul 1 pagi Selasa, Wisma Jakel sekali lagi dilaporkan terbakar hingga mengakibatkan timbul spekulasi bahawa terdapat unsur khianat di sebaliknya insiden itu.
Malah, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis juga dilaporkan telah mengarahkan siasatan dilakukan melibatkan pelbagai aspek termasuk unsur khianat dan kecuaian.
Untuk rekod, negara sebelum ini sudah beberapa kali berdepan situasi kebakaran yang akhirnya disahkan sebagai khianat selepas siasatan lanjut dilakukan.
Berikut Majoriti senaraikan tiga kes kebakaran yang mempunyai unsur khianat hingga menjadi tumpuan rakyat.
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
Kes ini berlaku pada 14 September 2017 di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur.
Kebakaran ini menjadi tumpuan kerana jumlah mangsa maut yang ramai iaitu 21 pelajar dan dua guru. Kesemuanya maut akibat terperangkap di tingkat tiga asrama kira-kira pukul 5 pagi.
Pada awalnya, bomba mengesahkan yang punca kebakaran berkemungkinan disebabkan litar pintas dan gegelung ubat nyamuk.
Selang dua hari kemudian, polis telah menahan tujuh remaja lelaki berusia lingkungan 11 hingga 18 tahun dan siasatan mendapati motif kebakaran berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek.
Bomba juga mengesahkan kebakaran berpunca daripada perbuatan yang disengajakan. Akhirnya, seorang suspek iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun telah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran pada Ogos 2020.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan remaja lelaki itu dipenjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Kematian CEO Cradle Fund
Pada 14 Jun 2018 pula, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan dilaporkan meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Selangor.
Namun, siasatan lanjut mendapati perkara sebaliknya berlaku dan insiden tersebut ada kaitan dengan pembunuhan.
Laporan bedah siasat mendakwa punca kematian akibat serpihan daripada letupan telefon bimbit.
Pada 25 Jun, laporan forensik menyatakan penemuan serbuk petrol pada tubuhnya, katil dan telefon bimbit yang membawa kepada pengkelasan semula kes itu sebagai pembunuhan.
Isterinya dan bekas suaminya serta ahli keluarga lain ditahan dan dibawa ke mahkamah sebelum dibebaskan tanpa tuduhan pada 21 Jun tahun lalu.
Kematian ibu dan enam anaknya di Kampung Lampijas, Sabah
Kes ini melibatkan kematian tujuh beranak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, Sabah kira-kira pukul 1.15 pagi pada 26 Februari 2020.
Kesemua mangsa ditemukan rentung dipercayai tidak dapat keluar dari rumah disebabkan gagal membuka pintu jeriji rumah yang berkunci.
Siasatan lanjut pasukan forensik bomba dan pasukan unit anjing pengesan (K9) kemudian menemukan bahan bukti yang boleh mengaitkan perbuatan khianat dan litar pintas.
Polis kemudian memburu remaja lelaki dikenali sebagai Rizal berhubung kejadian.
Menurut polis, Rizal turut tercedera dalam kebakaran tersebut namun menghilangkan diri selepas melihat kehadiran anggota polis yang menjalankan siasatan kebakaran itu.
Bagaimanapun tiada maklumat lanjut berkaitan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram