'Jasad di masjid, roh di awangan’, boleh ke tertidur ketika khutbah Jumaat? 


  • Mukmin
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Jemaah solat Jumaat perlu memberikan tumpuan sepenuhnya ketika khutbah sedang disampaikan agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang berbuat perkara sia-sia. —  Agensi

RASULLAH SAW bersabda: Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit”. (Hadith riwayat Abu Daud, 1:644)

Islam mewajibkan bagi umat Islam dalam kalangan lelaki, baligh, berakal dan orang yang bermukim di sesuatu tempat dan tidak mempunyai keuzuran untuk mendirikan solat Jumaat secara berjemaah.

ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu’ah: ayat 9)

Namun, bagaimana pula bagi mereka yang hadir ke masjid, tetapi tertidur ketika mendengar khutbah?

thumbs_b_c_318ed6db8923ceb5f0c9c14304cb624e

Berdasarkan penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, mendengar khutbah Jumaat adalah dituntut meskipun para fuqaha (ahli hukum) memiliki berbeza pendapat tentang hukum di antara wajib dan sunat.

Bagaimanapun, perbuatan itu tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Secara asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha (perbuatan melalaikan dan sia-sia) solat Jumaatnya.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung, akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: ‘Diamlah’ ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.” (Riwayat Al-Bukhari 934)

ezgif-1-9a48081082

Situasi ini turut ditetapkan kepada sebarang ucapan sekalipun dalam berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran) adalah dilarang semasa khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha.

Berdasarkan hadis ini juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata semasa khutbah sekalipun ucapan ‘diamlah’ yang dianggap sebagai nahi munkar, namun tetap tergolong dalam kategori lagha.

Kemudian pergerakan dan perbuatan seperti bermain telefon pintar atau melakukan aktiviti lain yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.” (Riwayat Muslim 857)

Melihat kepada keadaan tersebut, jelas menunjukkan bahawa tidur ketika khutbah sedang berlangsung turut termasuk dalam perkara yang dilarang semasa khutbah.

Ini kerana tumpuan dan fokus kepada mendengar khutbah satu perkara yang dituntut.

Imam Muhammad bin Sirin berkata : ‘’Para salaf terdahulu mereka tidak suka kepada perbuatan tidur semasa imam sedang berkhutbah dan mereka mengucapkannya dengan kenyataan yang begitu tegas. Iaitu dengan menyifatkan orang yang tidur semasa khatib sedang berkhutbah seperti tentera perang yang pulang dalam keadaan yang gagal (tidak mendapat ghanimah iaitu harta rampasan perang)." (Rujuk Al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Al-Qurtubi 18/117).

Tetapi, hukum tidur dengan sengaja ketika khatib sedang berkhutbah adalah ditegah dan menjadikan pelakunya sebagai lagha. Namun sekiranya tertidur secara tidak sengaja boleh jadi disebabkan terlalu letih, maka ini tidaklah termasuk di dalam larangan tersebut.

Justeru jika berasa mengantuk. cuba lakukan sesuatu bagi membantu kekal fokus dan mendengar khutbah dengan baik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram