SEORANG lelaki berdepan dengan detik cemas selepas dia diseret atas bonet kereta hampir 500 meter di jalan raya yang sibuk di India baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku di Delhi Rajouri Garden, India itu tercetus apabila mangsa, Jayaprakash dan suspek bergaduh ekoran rasa tidak berpuas antara satu sama lain.
Siasatan awal polis mendapati, Jayaprakash datang ke lokasi untuk bertemu dengan rakannya, Harvinder Kohli.
Ketika berada di kawasan parkir, mangsa meminta suspek untuk mengalihkan keretanya yang menghalang laluan kenderaannya untuk keluar dari petak parkir.
Namun suspek tidak mengalihkan kenderaan terbabit walaupun Jayaprakash sudah membunyikan hon beberapa kali. Mangsa kemudiannya bertindak keluar dari kereta dan memarahi suspek.
Berang dengan tindakan mangsa, suspek kemudiannya terus melanggar mangsa dan mengheret mangsa yang berpaut di atas bonet keretanya.
Setakat berita ini ditulis, tidak diketahui kecederaan yang dialami mangsa.
Pihak polis juga sudah menahan suspek dan akan didakwa atas kesalahan berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram