![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2022/12/30/1882775.jpg)
SUASANA di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia kecoh seketika, apabila ada penyokong yang dilihat 'terlalu' bertenaga memberi semangat kepada pasukan bola sepak kegemaran.
Kejadian itu berlaku ketika perlawanan Indonesia menentang Thailand dalam saingan Kumpulan A Piala AFF 2022 pada Khamis.
Menerusi video tular, seorang penyokong Indonesia dilihat berdiri di atas pembesar suara yang ditempatkan di suatu sudut tinggi.
Perkara itu dilakukan sambil memberi sorakan kepada pasukan kebangsaan semasa perlawanan.
"Turun, turun," jerit penyokong lain di dalam stadium yang bimbang sekiranya lelaki bertopi itu terjatuh dari pembesar suara tersebut.
Bertindak biadab, lelaki itu kemudian menutup mulutnya dengan jari telunjuk.
Aksinya seolah-olah memberi isyarat kepada penonton lain untuk duduk diam dan tidak mengganggunya.
Dalam video berasingan, seorang lagi penonton yang memakai baju hitam datang menghampirinya lelaki tersebut.
Tanpa berlengah, dia menarik lelaki bertopi itu ke tempat duduk penonton, sebelum berlaku pergaduhan sesama mereka.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara tersebut.
Dalam perlawanan itu, Thailand yang juga juara bertahan hampir pasti menjuarai Piala AFF tersebut, apabila terikat 1-1 dengan Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram