[VIDEO] Lelaki rasis terima padah tumbuk wanita warga emas lebih 125 kali, pijak guna but


  • Benua
  • Rabu, 30 Nov 2022

Tangkap layar video lelaki rasis menyerang jirannya dari arah belakang.

SEORANG lelaki di Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara lebih 17 tahun, selepas mengaku memukul dan meludah seorang wanita warga emas berdarah Asia.

Menerusi video tular, Tammel Esco, 42, menyerang wanita itu berusia 67 tahun di apartment Riverdale Avenue, New York, AS pada Mac lalu.

Dalam video itu, suspek menumbuk mangsa lebih 125 kali dan memijaknya menggunakan but.

Difahamkan, tertuduh juga menggelar mangsa sebagai 'jalang Asia'.

Pendakwa raya Westchester County menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah paling kejam dan mengejutkan dalam sejarah di pinggir bandar New York.

Menurut Pejabat Peguam Daerah Westchester, mangsa menerusi kenyataan dibacakan di mahkamah berkata, keganasan tertuduh menyebabkan wanita itu kehilangan tempat tinggal yang diduduki selama 24 tahun.

"Rumah itu adalah tempat saya membesarkan anak perempuan saya dan jiran lama saya.

"Semasa serangan itu berlaku, apa yang saya fikirkan ialah hanya berdoa supaya tuhan panjangkan umur saya kerana anak memerlukan saya.

"Orang asing tanpa perasaan bertindak meludah, memukul dan menendang saya lebih 100 kali hanya kerana keturunan saya.

"Satu-satunya harapan saya ialah tuhan dan sistem keadilan jenayah akan memastikan perkara ini tidak berulang kepada mana-mana keluarga yang tidak bersalah," kata mangsa yang mengalami pendarahan otak, patah tulang muka dan beberapa kecederaan lain.

Ketika kejadian, mangsa merupakan wanita berketurunan Filipina berjalan di luar bangunan pangsapurinya pada 11 Mac lalu sekitar pukul 6.08 petang.

Tertuduh yang juga jiran mangsa kemudian mengikut mangsa dan menyerangnya dari arah belakang.

Tidak berhati perut, tertuduh masih membelasah mangsa meskipun dia sudah terjatuh ke atas lantai.

Pesuruhjaya Polis Yonkers, Christopher Sapienza berkata, beliau berharap mangsa dan keluarganya dapat menemui keamanan selepas hukuman dikenakan ke atas tertuduh.

"Penguatkuasaan undang-undang Yonkers dan Westchester akan mengambil tindakan untuk menahan penjenayah yang ganas," kata Sapienza. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram