SUDAHLAH dibuang dalam guni berisi sampah, ditemukan pula dalam keadaan yang dihurung semut.
Itu yang berlaku kepada seorang bayi yang ditemukan dalam semak di tepi jalan di Kampung Degayu, Utara Pekalongan, Indonesia kira-kira pukul 3 pagi pada Selasa.
Dwi Tejo yang menemukan bayi itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk mencari ketam sebelum terdengar bunyi tangisan bayi.
"Saya mencari bunyi tangisan itu tetapi tak jumpa sehinggalah saya terpaksa meminta orang kampung untuk sama-sama mencari.
"Seorang daripada penduduk kampung yang berjaya menemukan bayi itu dalam karung plastik bersama dengan beberapa sampah," katanya.
Menurutnya, keadaan bayi itu ketika ditemukan juga sangat sadis kerana dihurung semut dipercayai ekoran terdapat sampah kotak susu yang diisi bersama dalam plastik itu.
Sementara itu, Ketua Polis Pekalongan Utara, Joko Hendro Sulistiyo berkata, pihaknya mengesahkan penemuan bayi tersebut.
"Kita ada terima laporan dengan melakukan tindakan segera iaitu membawa bayi itu ke hospital untuk menerima rawatan.
"Setakat ini bayi itu berada dalam keadaan baik dan siasatan mendapati bayi mungkin dilahirkan kira-kira enam jam sebelum ditemukan," katanya.
Tambahnya, usaha untuk mencari dalang yang membuang bayi itu sedang giat dijalankan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram