[VIDEO] Sakan berlumba, mat rempit terhumban ke dalam hutan di Kapit


  • Tular
  • Rabu, 30 Nov 2022

Tangkap layar rakaman menunjukkan penunggang motosikal terjatuh, terseret di atas jalan sebelum terbabas memasuki hutan.

"KALAU nyawa sendiri pun tak hargai, macam mana untuk berbakti pada ibu bapa".

Itulah luahan salah seorang pengguna media sosial apabila tular sebuah video kemalangan motosikal yang melibatkan beberapa remaja di Kapit, Sarawak.

Rakaman tersebut berjaya dirakam menerusi telefon pintar salah seorang penonton yang menyaksikan insiden kemalangan terbabit.

Berdasarkan video berdurasi 10 saat, kelihatan beberapa remaja yang menunggang motosikal itu dipercayai sedang berlumba di jalan sambil diperhatikan penonton.

Ketika kejadian, salah seorang mat rempit itu kelihatan terjatuh, terseret di atas jalan sebelum terbabas memasuki hutan yang berada bersebelahan kawasan tersebut.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai terkilan dengan tindakan remaja-remaja yang berlumba itu.

"Kenapalah nak berlumba atas jalan raya, awak panggil ini hobi? Jadi apa-apa siapa yang susah," kata Maki Fred Carlier.

"Tak apa mati boleh hidup balik, biasalah jenis nyawa ada sembilan ini," ujar Mohamad Shukri.

"Hobi yang mahal? Hobi ini adalah hobi tak masuk akal, kenapa nak bahayakan diri sendiri? Fikirlah keluarga yang membesarkan anda," luah Tangam Gold.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini.

Sebelum ini pernah terjadi beberapa kes kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal di Sarawak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram