'Terpulang kepada pembaca', Pengurus Sabah FC ulas isu OKS, Saddil


  • Podium
  • Isnin, 21 Nov 2022

Gambar Saddil (kanan) bersama Kim Swee yang dikongsi pemain itu pada laman Instagram miliknya. — Instagram

KEMPEN Liga Malaysia bagi Sabah FC berakhir dengan kekalahan secara agregat 4-1 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia 2022 pada Ahad.

Kekalahan berkenaan disahkan selepas skuad Harimau Selatan membenam The Rhinos 3-1 dalam pertembungan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Keputusan akhir Sang Badak itu cuba diterima baik oleh penyokongnya dan berharap agar ada sinar keajaibannya untuk mereka mendapatkan tiket ke kejohanan Piala AFC pada musim depan.

Tiket Piala AFC itu akan berjaya diperolehi Sabah FC sekiranya pasukan Terengganu FC atau JDT mara ke peringkat final Piala Malaysia 2022.

Melupakan sebentar mengenai kekalahan dan tiket ke kejohanan Asia itu, mata penyokong kini tertumpu kepada pemain sayap lincah, Saddil Ramdani yang membuat hantaran seperti memberi bayangan akan meninggalkan The Rhinos.

Hantaran tersebut turut memuat naik gambarnya bersama pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bersama ungkapan kata-kata.

“Gaya mengajarmu membuat kami ingin tinggal lebih lama. Namun waktu harus membuat perjumpaan kita berakhir dalam perpisahan. Namamu akan selalu kami kenang, guru,” luah Saddil di laman Instagram miliknya.

story

Tangkap layar balas oleh Kim Swee yang dikongsi Saddil pada Instagram story miliknya. — Instagram

Kata-kata yang ditulis pemain kelahiran Indonesia itu turut di muat naik oleh Kim Swee menerusi Instagram story miliknya dengan ucapan "All the best & Good Luck @saddilramdani"

Bagaimanapun, berdasarkan kata-kata Saddil dan bekas ketua jurulatih kebangsaan itu, ada juga yang beranggapan bahawa ucapan itu seperti dituju kepada Kim Swee.

Mengulas persoalan tersebut, Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir menyatakan bahawa terpulang kepada pembaca untuk menafsirkan hantaran daripada kedua individu itu.

“Ya, dia tinggalkan Sabah untuk bercuti selepas musim berakhir. Tiada andaian, terpulang kepada pembaca untuk buat interpretasi.

“Tunggu saja pengumuman rasmi dari Sabah FC,” katanya ringkas kepada Majoriti.

saddil

Jika benar Saddil akan meninggalkan Sabah FC, perlawanan bertemu JDT pada separuh akhir kedua Piala Malaysia merupakan aksi terakhirnya bersama The Rhinos. — Facebook/JDT

Berikutan hantaran dari pemain itu, ramai penyokong yang sudah mulai merestui pemergian Saddil sekiranya pemain berusia 23 tahun itu ingin berkelana di Eropah.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pihak Sabah FC sudah menawarkan kontrak baharu kepada Saddil namun pemain itu masih belum memuktamadkan keputusannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram