KEKALAHAN Sabah FC 1-3 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad menandakan tamatnya perjuangan Sang Badak dalam kempen Liga Malaysia musim ini.
Rebahnya Sang Badak di Stadium Sultan Ibrahmi, Iskandar Puteri, Johor menyaksikan skuad Harimau Selatan mara ke pentas final pada Sabtu nanti dengan agregat 4 -1.
Pencapaian itu adalah hasil kemenangan 1-0 yang dikumpul JDT pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 November lalu.
Rata-rata penyokong Sabah FC dilihat tidak melatah dengan keputusan tersebut kerana skrip itu sudah dijangka lebih awal lagi.
Tangkap layar ucapan Saddil berserta dua keping gambar memberi bayangan perpisahan akan berlaku.
Ini kerana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut membawa 16 pemain sahaja, manakala pasukan JDT menurunkan kesebelasan terbaik.
Namun, ada satu berita yang mungkin akan mengejutkan pasukan lawan iaitu muat naik terbaharu pemain sayap lincah Sang Badak, Saddil Ramdani di laman Instagram miliknya.
Menerusi satu muat naik gambar dirinya bersama Kim Swee, pemain berusia 23 tahun tersebut menitipkan kata-kata selamat tinggal buat jurulatihnya itu.
"Gaya mengajarmu membuatkan kami ingin tinggal lebih lama. Namun waktu harus membuat perjumpaan kita berakhir dengan perpisahan. Namamu akan selalu kami kenang, guru," tulisnya.
Tangkap layar balas oleh Ong Kim Swee yang dikongsi oleh Saddil sendiri.
Ucapan itu turut dibalas bekas pengendali Harimau Malaya tersebut menerusi Instagram story miliknya dengan ucapan "All the best & Good Luck @saddilramdani"
Menilai daripada penyusunan ayat dalam ucapan Saddil dan jawapan balas dari Kim Swee sendiri, Majoriti menyimpulkan ucapan selamat tinggal itu ditujukan kepada pemergian Kim Swee.
Namun di ruang komen, para peminat meluahkan kerelaan mereka untuk melepaskan pemain dari Indonesia tersebut.
Penyokong Sabah FC, Fahmiey_22 mengucapkan penghargaan terhadap sumbangan Saddil sepanjang khidmatnya bersama pasukan Sabah FC musim ini.
"Semoga terus berjaya pada masa akan datang. Pemain sebaik kamu pasti akan lebih cemerlang pada masa hadapan. Teruskan perjuangan," jelasnya.
"Terima kasih jasanya kepada Sabah FC. Kami sedih kamu meninggalkan kami tapi saya doakan maju jaya buat perjalananmu yang seterusnya," kata Yen Natasha.
Setakat artikel ditulis, masih tiada lagi kemas kini berhubung muat naik tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram