TULAR di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa buli di sebuah sekolah rendah di Ogan Komering Ulu (OKU), Desa Saung Naga, Indonesia pada Jumaat.
Menerusi video tersebut yang mula tular sejak Sabtu, kanak-kanak itu dilihat duduk di atas lantai sambil menangis dan menutup mukanya.
Selain itu, dia juga beberapa kali dipijak oleh beberapa pelajar lain.
Sementara itu, Ketua Pejabat Pendidikan Daerah, Alfarizi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sedang mengambil tindakan lanjut.
"Kita memandang serius berkenaan perkara ini dan sebaik sahaja mendapat maklumat berkaitan video tersebut, saya telah menghubungi guru besar di sana.
"Saya berjanji yang masalah ini akan selesai," katanya pada Sabtu.
Menurut Alfarizi, berdasarkan maklumat yang diterima daripada ketua guru, kejadian itu berlaku ketika waktu rehat.
Jelasnya, dia juga sudah berjumpa dengan semua yang terlibat termasuk mangsa.
Dalam pada itu, ruangan komen di media sosial juga kecoh apabila warganet Indonesia berasa tidak puas hati terhadap tindakan pelajar-pelajar tersebut.
Malah, ramai yang meminta supaya kejadian itu ditangani segera untuk mengelak perkara sama berulang di sekolah lain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram