[VIDEO] Kumpulan remaja biadab 'flying kick' warga emas hingga tersungkur


  • Benua
  • Ahad, 20 Nov 2022

Tangkap layar video kejadian buli kumpulan remaja terhadap seorang wanita warga emas.

MESKIPUN sesebuah negara dikategorikan sebagai aman, namun segelintir penduduknya tidak lari daripada berdepan dengan masalah buli.

Kerap kali kes buli sinonim berlaku antara adik-beradik dan pelajar sekolah, namun tidak dinafikan perbuatan tersebut juga boleh terjadi kepada warga emas.

Baru-baru ini, sebuah video memaparkan sekumpulan pelajar sekolah bertindab biadab, apabila membuli seorang wanita tua di Jalan Lintas Panompuan, Kabupaten Tapanuli Selatan, dekat Sumatera Utara, Indonesia.

Kejadian bermula apabila wanita itu mengutip sampah di tepi jalan, sambil menggalas sebuah guni besar.

Dia dilihat berjalan seorang diri sebelum didatangi kumpulan pelajar itu yang menaiki motosikal.

Kumpulan pembuli itu juga berpura-pura bertanya arah jalan sambil merakam video wanita tersebut.

Tidak lama kemudian, salah seorang daripada remaja itu turun daripada motosikal dan bertindak menyepak wanita terbabit sehingga tersungkur.

Kumpulan tersebut kemudian dengan senang hatinya bergelak ketawa apabila berjaya membuli warga emas tidak berdaya.

Dalam video sama, kedengaran suara mangsa menangis akibat menahan sakit, manakala kumpulan tersebut meninggalkannya tanpa belas kasihan.

Video berkenaan kemudian tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen.

Kesemua enam pelaku dalam video tersebut sudah ditangkap dan akan dikenakan tindakan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram