[VIDEO] Elak kena cekup di 'roadblock', lelaki cabut lari di jalan raya sesak


  • Benua
  • Isnin, 21 Nov 2022

Tangkap layar video aksi bahaya lelaki terbabit ketika melintas di tengah-tengah jalan raya sesak.

VIDEO seorang lelaki yang sanggup membahayakan nyawanya dengan melintas di tengah-tengah kesesakan jalan raya tular di media sosial.

Dalam kejadian itu, Zachary Sibert, 29, melakukan perbuatan tersebut semata-mata bagi mengelak dikejar oleh pihak polis ketika sekatan jalan raya (roadblock) di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Lelaki itu didakwa memandu dengan kelajuan 110 kilometer sejam, manakala lesennya didapati digantung selepas ditangkap memandu secara berbahaya sebelum ini.

Dia dipercayai mengelak kenderaan lain dengan mengambil inspirasi daripada permainan video Frogger.

Menerusi video dikeluarkan oleh polis Brevard County pada Jumaat, Sibert menganggap bahawa tindakan mengelak kenderaan lain yang dipandu laju adalah alternatif yang lebih baik daripada membiarkan dirinya dipenjara.

Video tersebut memaparkan, dia melompat keluar dari keretanya sebelum melintas dan melarikan diri ke Buffer Preserve - sebuah kawasan yang mempunyai keluasan 5,026 ekar.

"Namun, Sibert sempat menjerit meminta maaf kepada pegawai kami ketika berlari. Ini menunjukkan dia seorang penjenayah yang berbudi bahasa dan tidak begitu bijak," kata jurucakap polis.

Pada masa sama, Sibert didakwa membayar seorang pemandu yang melaluinya kawasan itu untuk membawanya ke tempat lain.

Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia berjaya ditangkap, selepas pihak polis menahan kereta yang dinaikinya.

Lelaki itu ditemui bersembunyi di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

Dia menghadapi beberapa pertuduhan termasuk memandu dengan lesen digantung dan cuba lari dari sekatan jalan raya.

Oleh itu, lelaki tersebut dikenakan denda sebanyak AS$1,500 (RM6,870) dan dijadual hadir ke mahkamah pada Disember depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram