[VIDEO] Tragedi konvoi berdarah di Seremban, 2 remaja maut rempuh belakang 'King'


  • Tular
  • Isnin, 21 Nov 2022

Remaja perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala remaja lelaki meninggal dunia di hospital.

PERJALANAN konvoi sekumpulan motosikal berakhir tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia selepas merempuh belakang sebuah kereta Perodua Myvi di KM 14.3 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson menghala Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam satu video tular yang dimuat naik pada Isnin melalui aplikasi Telegram Info Kemalangan memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai ahli konvoi berkenaan berkumpul di bahu jalan.

"Sumber awal kata, mamat itu hilang kawalan lalu melanggar belakang Myvi. Nampak macam teruk," katanya.

Dalam video tersebut turut memaparkan seorang lelaki bertopi keledar biru, terbaring di atas jalan dan cuba dibantu orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 9.30 malam Ahad dan membabitkan dua mangsa.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika kira-kira 50 motosikal mengekori belakang sebuah kereta di lebuh raya itu.

"Mangsa yang meninggal dunia ialah penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 19 tahun dan pemboncengnya, remaja perempuan berusia 14 tahun.

"Motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kereta tersebut lalu menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan.

"Ekoran itu, tujuh motosikal yang lain yang cuba mengelak berlanggar sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Aidi, remaja perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala remaja lelaki meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Kemalangan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram