PENJAGAAN kesihatan penting khususnya melibatkan pengambilan pemakanan, aktiviti fizikal dan amalan gaya hidup sihat.
Perkara tersebut antara yang perlu diberi perhatian khusus bagi mengelakkan daripada menghidapi penyakit kronik seperti serangan jantung, diebetes, kegagalan buah pinggang dan penyakit hati.
Oleh itu kesungguhan dan semangat antara elemen wajib agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan baik untuk jangka masa panjang.
Menyedari situasi itu, seorang wanita berusia 56 tahun membulatkan hati untuk bersenam di gimnasium.
Menarik perhatian, warga emas itu mengenakan sari melakukan latihan bebanan atau powerlifting.
Dia melakukannya akibat mengalami kecederaan pada lutut dan kaki yang teruk.
Memetik laporan Hindustan Times, wanita dari Chennai, India itu memilih untuk merawat masalah kesihatan dengan cara tanpa perlu melakukan pembedahan.
“Sekitar empat tahun lalu doktor menasihatkan saya untuk melakukan pembedahan lutut.
“Namun keluarga menasihatkan agar tidak melakukan pembedahan dan cuba mencari cara alternatif lain.
“Disebabkan itu saya memulakan senaman asas dengan bahagian bawah badan dengan cara berjalan kaki dan melakukan aktiviti fizikal.
“Saya mengambil masa sekitar lima bulan melakukan senaman angkat beban di gimnasium untuk melihat kesannya,” jelas wanita yang dikenali sebagai Dhiv itu.
Optimis
Melihat kepada kesungguhan untuk terus sihat, pengguna media sosial menjadikannya sebagai sumber inspirasi.
Hal ini kerana pada berumur lebih setengah abad itu masih mampu untuk melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan mentaliti masyarakat yang memandang perkara itu sesuatu yang mustahil.
Masakan tidak, Dhiv sendiri mula bergiat aktif melakukan perkara itu pada umur 52 tahun.
Tentu sahaja angka itu membuat banyak buntang mata dan tidak percaya.
Namun, warga emas itu tidak mengenal erti mengalah dan tetap meneruskan usaha senaman beban dengan menantu dan anak lelakinya.
Instagram madras_barbell
“Empat tahun lalu anak saya mengalami kecederaan pada belakang badan. Dia juga dinasihatkan untuk melakukan pembedahan, tetapi kami nekad tidak melakukannya.
“Kemudian anak saya membuka gimnasium sendiri pada 2018 dan ini membolehkannya saya untuk bersenam pada bila-bila masa setiap hari.
“Kami kini melakukan senaman bersama antaranya tekan tubi, senaman cangkung (squat) dan angkat beban,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga menyertai pertandingan angkat berat dengan hanya memakaikan pakaian tradisional masyarakat India, sari.
Pertandingan yang berlangsung baru-baru ini menunjukan dirinya melakukan aksi angkat berat dengan memakai sari sekali gus menarik minat ramai anak muda.
“Lihat bagaimana dia mampu melakukan perkara itu pada umur 56 tahun. Jika orang muda tidak fikir untuk menjaga kesihatan, perkara itu merugikan,” kata seorang pengguna media sosial, Ramu Bala.
“Dia benar-benar memberi inspirasi kepada orang muda bahawa usia itu hanya angak. Jika ada kesungguhan, tentu segalanya akan ada solusi,” kata Seera Rini.
Dalam pertandingan tersebut Dhiv berjaya mendapat pertama sekali gus menewaskan dua pesarta lagi.
Acara tersebut diadakan oleh penduduk setempat di gimnasium milik anak lelakinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram