PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini dimeriahkan dengan pengundi dalam kalangan remaja seawal usia 18 tahun dan ke atas.
Pengalaman pertama itu mengundang pelbagai reaksi khususnya bagi mereka yang kali pertama turun mengundi.
Ia boleh digambarkan menerusi pengalaman dikongsikan dua gadis yang turun mengundi di Sekolah Seksyen 7, Shah Alam, Selangor ini apabila menuntut semua golongan muda untuk turun menjalankan tanggungjawab kepada negara.
Menurut Syarina Ramli, 23, meskipun kali pertama membuang undi, ia nyata satu pengalaman baharu buatnya.
“Suara belia amat penting dalam menentukan nasib negara, tanpa mengira tua atau muda semua perlu turun mengundi.
“Terutamanya untuk anak-anak muda zaman sekarang, suara mereka sangat penting,” katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut soal trend mengundi dalam kalangan remaja masa kini yang kebanyakannya hanya sekadar untuk kepentingan sosial media, ini pula pendapat rakannya, Aina Adnan, 23.
“Sebagai belia, jangan terlampau terpengaruh dengan rupa ataupun janji manifesto diberikan seseorang calon.
“Kalau setakat janji manifesto kita rakyat biasa pun boleh buat, jadi kita perlu undi calon yang betul-betul ambil tindakan atas perkara yang dijanjikan,” tambahnya.
Dihadiri ramai pengundi dalam kalangan belia, rata-rata pengundi muda kali ini tidak melepaskan peluang untuk berswafoto di pusat mengundi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram