SEORANG lelaki ditahan polis selepas didakwa mengangkat dan melambung seorang kanak-kanak perempuan di Manjeshwar, India pada Khamis.
Tragedi ngeri itu terjadi ketika kanak-kanak berusia lapan tahun tersebut sedang menunggu bapa saudaranya di luar sebuah pusat pengajian.
Difahamkan, suspek Aboobacker Siddique terlebih dahulu ditahan oleh penduduk tempatan sebelum dicekup pihak polis yang tiba di lokasi kejadian.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), mangsa turut memaklumkan bahawa dia telah dipukul oleh individu terbabit ketika berdiri di lokasi kejadian.
Berdasarkan rakaman tersebut, Siddique dilihat meluru ke arah budak itu dan bertindak memukul serta menghumbannya ke jalan raya secara tiba-tiba.
Sebaik melakukan perbuatan kasar itu, suspek terus beredar dari lokasi kejadian.
Menurut pegawai polis, kes tersebut didaftarkan di bawah Kanun Keseksaan India (IPC) 307 kerana cubaan membunuh dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Mangalore untuk pemeriksaan terperinci," katanya.
Di ruangan komen pula, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki tersebut yang dikatakan tidak mempunyai perikemanusiaan dan kejam.
“Teruk betul perangai lelaki itu, sangat kejam kerana mengasari kanak-kanak tersebut, nasib baik kanak-kanak itu tidak tercedera," kata Shree Speaks.
“Apa yang berlaku sebenarnya, kenapa perlu kejam dan buat seperti itu pada kanak-kanak," jelas harshjoya.
“Kasihan kanak-kanak itu, dia tidak bersalah dan dipukul tanpa sebab oleh lelaki kejam itu," tambah MdFasahathullah.
Motif kejadian masih belum diketahui setakat ini dan kes tersebut masih di bawah siasatan pihak polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram