[VIDEO] Hikmah salah jalan, lelaki selamatkan 4 beradik daripada rentung


  • Benua
  • Selasa, 01 Nov 2022

Tangkap layar video menunjukkan detik-detik penghuni menyelamatkan diri selepas rumah mereka disambar api.

SEORANG lelaki berjaya menyelamatkan empat beradik yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah pada Ahad lalu.

Ibarat mendapat petunjuk, Brendon Birt berkata, pada mulanya mengambil selekoh yang salah ketika memandu di Red Oak, dekat Texas, Amerika Syarikat (AS), sebelum melihat satu kebakaran di kediaman tersebut.

"Saya hanya rasa seperti ada orang di sana kerana hari sudah lewat malam. Yang saya tahu saya perlu bertindak cepat," katanya kepada pemberita.

Ketika tiba di lokasi kejadian, Birt berkata, dia bertindak mengetuk tingkap dan menjerit bagi menyedarkan penghuni kediaman itu.

Selain itu, Birt turut menekan loceng pintu rumah berkenaan, namun hampa apabila tiada penghuni yang menyahut.

Tidak beberapa lama kemudian, tiga beradik masing-masing berumur 8, 14 dan 17 tahun berlari keluar melalui pintu hadapan rumah mereka ketika api menyambar bahagian tersebut.

Abang lelaki mereka berusia 22 tahun kemudian menyusul melalui pintu sama ketika api semakin marak.

Pada masa sama, adik-beradik itu berkata, jeritan Birt menyedarkan mereka kerana penggera asap gagal berbunyi.

Apabila terjaga, mereka mendapati api sudah marak di dinding ruang tamu.

Ibu bapa mereka berada di luar bandar apabila mereka mendapat panggilan cemas tentang kebakaran itu.

Ibu mereka, Tender Lehman berkata, dia berterima kasih dan menghargai pertolongan Birt.

"Nyawa anak-anak saya selamat disebabkan dia," katanya.

Lima ekor anjing milik keluarga itu mati dalam kebakaran, manakala dua lagi terselamat.

Rumah itu musnah sepenuhnya akibat kebakaran tersebut, namun Lehman berkata bahawa, dia bersyukur anak-anaknya berjaya keluar tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram