[VIDEO] Percutian bertukar tragedi, lelaki sempat rakam video selfie sebelum mati akibat tali ‘flying fox’ terputus


  • Benua
  • Selasa, 01 Nov 2022

Sergio pada awalnya kelihatan begitu teruja apabila dia tersenyum dan bersorak ke arah kamera sebelum flying fox itu tiba-tiba runtuh dan meragut nyawanya. — Agensi

PERCUTIAN pasangan suami isteri bertukar tragedi selepas lelaki tersebut maut ketika melakukan aktiviti ekstrem luncur keluang (flying fox) di Ceara, Brazil baru-baru ini.

Lebih malang lagi, Sergio Murilo sempat merakam dirinya sendiri ketika melakukan aktiviti tersebut sebelum terjatuh ke tanah.

Menerusi rakaman itu, mangsa yang berusia berusia 39 tahun, pada awalnya kelihatan begitu teruja apabila dia tersenyum dan bersorak ke arah kamera.

Keadaan itu bertukar cemas selepas rakaman menunjukkan kamera berpusing apabila tali flying fox terputus. Pasangannya yang turut merakam kejadian tersebut tergamam melihat mangsa jatuh menjunam.

Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, memetik laporan media antarabangsa Marca.

Difahamkan kejadian ngeri itu berlaku selepas tiang struktur flying fox berkenaan tiba-tiba runtuh dan menyebabkan talinya putus sekali gus menyebabkan lelaki berkenaan jatuh dari aras tinggi.

Dalam perkembangan lain, keluarga Sergio mengambil tindakan untuk mendakwa syarikat yang menjalankan aktiviti flying fox tersebut kerana faktor kecuaian dan keselamatan sehingga membawa maut.

Menurut peguam keluarga mangsa, struktur tiang flying fox berkenaan diperbuat daripada kayu dan tidak dibina dengan cara yang betul. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram