[VIDEO] Anjing gonggong kepala manusia bongkar penemuan mayat tepi ATM


  • Benua
  • Selasa, 01 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan seekor anjing liar menggonggong kepala seorang lelaki. — Agensi

PENDUDUK di kawasan bandar Mexico digemparkan dengan satu kejadian menakutkan selepas seekor anjing liar dilihat menggonggong kepala seorang lelaki baru-baru ini.

Memetik laporan media antarabangsa, The Economis Times News, insiden ngeri itu dirakam di kawasan utara Zatecas yang terkenal dengan konflik keganasan.

Dalam video tersebut menunjukkan anjing liar berkenaan berlari menyusuri jalan yang gelap sambil menggonggong kepala mangsa.

Sementara itu, menurut laporan polis, kejadian itu berlaku pada minggu lalu dan melibatkan pergaduhan kumpulan kartel dadah.

Mayat dan kepala mangsa ditinggalkan berdekatan dengan sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) di kawasan bandar Monte Escobedo, Zatecas.

Ketika kejadian, pihak berkuasa sudah dikerahkan ke kawasan jenayah tersebut namun anjing liar itu melarikan diri dengan kepala manusia yang dipenggal sebelum polis tiba.

Insiden itu turut dipercayai berkait rapat dengan kegiatan kartel dadah dan perebutan kuasa di kawasan tersebut.

Kepala mangsa berjaya ditemukan oleh pihak polis dan diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, insiden jenayah tersebut didalangi salah seorang kartel dadah paling berbahaya di dunia iaitu Jalisco Nueva Generacion. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram