
SEORANG pengguna jalan raya mengamuk dan mengakibatkan kerosakan pada kereta lain yang dipercayai berlaku di Houston, Texas, pada Isnin.
Kejadian itu berjaya dirakamkan oleh Courtney yang bekerja di kawasan berhampiran dan kebetulan menyaksikan kejadian tersebut.
Mangsa, Emmanuel Escot berkata kejadian itu berlaku ketika dia hendak menuju ke timur di Westheimer.
"Lelaki itu datang dari lorong paling kanan dan kemudian melencong ke lorong saya menyebabkan perlanggaran.
"Saat dia mendengar bahawa saya sedang menelefon bagi membuat laporan polis, ketika itulah dia memutuskan untuk menyerang saya," kata Emmanuel.
Menerusi video yang disebarkan di akaun Facebook Khou 11 News, lelaki tersebut menyerang Emmanuel dan merosakkan keretanya dengan memecahkan cermin depan, mencabut rak bumbung kereta dan menarik pemegang pintu lalu melemparkannya ke seberang jalan.
Pemandu itu kembali ke keretanya tetapi sebelum memandu pergi, dia dengan sengaja merempuh kembali kereta Emmanuel.
Emmanuel berkata, dia tidak mengenali lelaki tersebut dan tak mengetahui punca kemarahan lelaki itu, tetapi suspek disyaki memandu kereta Ford.
Menurut laporan Khou 11 News, pihak berkuasa tiba di tempat kejadian sejurus selepas lelaki tersebut beredar.
Pihak polis sedang menyiasat dan mencari suspek kejadian.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram