[VIDEO] Tanah runtuh Empangan Hidro Tenom nyaris ragut 6 nyawa


  • 112
  • Selasa, 01 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan kejadian banjir yang mengakibatkan tanah runtuh di Empangan Hidro Tenom, Sabah. — Agensi

ENAM lelaki yang terperangkap dalam insiden tanah runtuh di kawasan Empangan Hidro Tenom, Sabah, berjaya diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 8.30 pagi sebelum menggerakkan sepasukan tujuh anggota bomba bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kesemua mangsa berusia 29 hingga 42 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat.

"Kami menerima laporan enam lelaki terperangkap di kawasan Power House sekitar lima kilometer dari pagar utama bangunan. Tindakan pasukan bomba berjalan kaki ke lokasi kejadian berjaya menemukan mangsa.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kejadian tersebut mengakibatkan bahagian pagar utama bangunan tertimbus dan juga beberapa buah kenderaan serta motosikal rosak," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain berlaku, dan menamatkan operasi pada 9.30 pagi.

"Pasukan bomba juga menasihati pekerja dan orang awam supaya tidak memasuki kawasan tahan runtuh tersebut,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram