
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera di pipi kiri selepas ditampar individu tidak dikenali di taman permainan.
Kejadian itu difahamkan berpunca selepas berlaku tolak menolak antara sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di Pusat Beli Belah Bee Bee Land, Pontianak, Indonesia.
Susulan insiden tersebut, wanita berkenaan difahamkan terus menampar pipi mangsa selepas mendakwa anaknya ditolak.
Dikongsikan di laman Instagram @angleatjimakeup, mangsa bernama Kenzie mengalami kemerahan di pipi dan suspek dilihat cemas sebelum beredar dari taman tersebut.
Menurut ibu mangsa, kejadian itu sememangnya satu perkara yang mengejutkan kerana menurutnya, perbuatan tolak menolak dan rempuhan merupakan perkara biasa bagi kanak-kanak ketika bermain sesama sendiri.
“Yang penting peranan kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa memberikan pesanan untuk tidak terlibat dengan perkara negatif, bukannya datang dan tampar anak orang sesuka hati.
"Wanita itu seperti sudah berusia 40 tahun ke atas jadi seharusnya sudah matang dalam berfikir bukan hanya bertindak ikut nafsu sendiri walaupun anak saya yang sebenarnya ditendang," katanya.
Difahamkan, insiden itu berlaku ketika Kenzie sedang bermain gelongsor dan berlaku rempuhan kecil dengan salah seorang kanak-kanak lain di situ.
Terkesan dengan perkara itu, ibu kanak-kanak terbabit terus datang dan memukul Kenzie sehingga terjatuh.
"Pipi kiri Kenzie bengkak namun dia tidak menangis. Cuma situasi itu tidak enak untuk dipandang kerana anak saya ditampar di khalayak ramai dan di depan mata saya sendiri.
"Sepatutnya bila jadi ibu bapa, kita perlu meleraikan pergaduhan bukannya bersikap seperti itu," katanya.
Namun, insiden itu gagal dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) kerana ia dipercayai masih belum dihidupkan ketika kejadian.
Susulan itu, ibu mangsa dikatakan akan membuat laporan kepada pihak polis berhubung kes tersebut.
Kes masih lagi dalam siasatan pihak polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram