SEORANG lelaki teruk dibelasah oleh sepasang adik-beradik lelaki dalam kejadian di Yonkers, Westchester County, dekat New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), dua beradik itu dilihat memukul dan memijak kepala mangsa di sebuah kaki lima di Yonkers Avenue and Ridgewood Avenue pada Rabu minggu lepas.
Serangan itu masih diteruskan, meskipun seorang anggota polis wanita yang berada di lokasi kejadian mengarahkan mereka untuk menghentikannya.
Beberapa saat kemudian, mangsa yang dilihat lemah dengan muka berlumuran darah terbaring ke atas tanah.
Namun, kedua-dua adik-beradik itu masih lagi tidak berpuas hati apabila masih lagi membelasah mangsa.
Pada masa sama, anggota polis berkenaan tetap mengarahkan kedua-kedua pelaku untuk menghentikan pergaduhan itu, tetapi sama sekali tidak diendahkan.
Anggota polis berkenaan juga dilihat menggunakan walkie-talkie bagi menghubungi rakan setugasnya yang lain.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki dipercayai rakan mangsa menuju ke lokasi kejadian dan terus memberi sepakan terhadap salah seorang pelaku.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila rakan mangsa turut dibelasah oleh pasangan adik-beradik itu.
Seorang lagi pegawai polis lelaki yang baru tiba juga dilihat cuba meleraikan pergaduhan terbabit.
Menurut polis, individu yang dirakam di dalam video itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang terlibat dalam pergaduhan ganas di sebuah bar.
Suspek yang dikenali sebagai Jonathan Teelin yang berasal dari Mount Kisco, manakala Feelix Teelin dari Hastings-on-Hudson sudah ditahan serta didakwa melakukan serangan jenayah.
Mangsa yang berasal dari Yonkers tidak mengalami kecederaan serius dan bakal pulih tidak lama lagi.
Selain itu, pihak polis turut menjalankan siasatan ke atas anggota polis wanita yang terlibat dalam kejadian itu, yang dianggap gagal meleraikan pergaduhan tersebut.
Sehingga Jumaat, anggota polis wanita itu masih belum digantung kerja atau dipindahkan ke jabatan lain, kata sumber polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram