ANGKA kematian akibat jambatan runtuh di Gujerat di India meningkat kepada 132 orang pada Isnin, lapor seorang pegawai kerajaan tempatan.
Ketika kejadian itu berlaju, jambatan yang terletak di atas Sungai Machhu, bandar Morbi dipenuhi pengunjung yang menikmati cuti perayaan.
Jambatan itu menarik ramai pelancong yang meraikan Diwali, atau perayaan lampu, dan cuti Chhath Puja.
Malang tidak berbau apabila jambatan itu runtuh secara tiba-tiba sehingga menyebabkan orang ramai terhumban ke dalam sungai di bawahnya.
"Angka kematian dalam insiden jambatan runtuh itu meningkat kepada 132. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan," kata pegawai kanan, NK Muchhar.
Tambahnya, jumlah korban mungkin meningkat lagi.
Muchar berkata, anggota tentera bersama pengurusan bencana negara dan pasukan kecemasan dari daerah berhampiran dikerahkan untuk mengesan orang hilang dan membantu operasi menyelamat.
Pihak berkuasa berkata, lebih 400 orang berada di sekitar jambatan gantung era kolonial itu ketika kejadian tersebut.
Pasukan khusus dilantik untuk menjalankan siasatan ke atas bencana tersebut.
Jambatan sepanjang 230 meter itu dibina semasa pemerintahan British pada abad ke-19.
Ia telah ditutup untuk pengubahsuaian selama enam bulan dan dibuka semula untuk orang ramai baru-baru ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram