[VIDEO] Lelaki galas beg merah selamba rembat tabung masjid di Kepala Batas


  • Tular
  • Isnin, 31 Okt 2022

Tangkap layar video seorang lelaki melarikan sebuah tabung milik masjid.

KES curi tabung masjid semakin menjadi-jadi apabila pusat ibadat itu dianggap sebagai lubuk harta buat sang perompak.

Pada Januari lalu, seorang remaja yang lengkap berpakaian dimandikan seperti 'jenazah', selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah dekat Kilometer 28 Kuang, Rawang di Selangor.

Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan jemaah pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung.

Bukan itu sahaja, remaja itu juga berdepan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000.

Tidak mengambil iktibar dengan kes itu, perkara tersebut kini berulang apabila seorang lelaki tanpa segan silu mencuri wang hasil sumbangan orang ramai di sebuah masjid pada Selasa lalu.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), lelaki yang tidak memakai sebarang pelitup muka itu dilihat membawa keluar tabung berkenaan menerusi pintu masjid.

Tanpa memikir panjang, dia yang memakai beg galas merah dengan pantas memanjat tembok bangunan terbabit sebelum bergegas meninggalkan rumah ALLAH itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Masjid Kampung Banggol, dekat Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Video berdurasi 19 saat yang dikongsikan di laman TikTok jefri_din itu kemudian menjadi tular di platform media sosial lain.

Majoriti sudah pun menghubungi pihak pengurusan masjid berkenaan, namun masih belum ada sebarang respons.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram