[VIDEO] Halloween berdarah di Korea Selatan ragut 149 nyawa


  • Benua
  • Ahad, 30 Okt 2022

Orang ramai turut tampil memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa-mangsa.

KESERONOKAN meraikan Halloween berakhir tragedi setelah sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh ekoran diasak dan dipijak kumpulan manusia yang hadir di Itaewon, Korea Selatan pada Sabtu.

Menurut ketua Balai Bomba Yongsan, Choi Sung-beom, seramai 65 orang lagi cedera dan 19 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Dia juga tidak menolak angka kematian dan kecederaan akan meningkat dari semasa ke semasa.

Acara Halloween tersebut merupakan acara pertama dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik sekatan Covid-19 dan penjarakan sosial.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.20 malam waktu tempatan (9.20 malam waktu Malaysia) apabila orang ramai semakin tidak terkawal dan gelisah.

"Beberapa orang terjatuh ketika diasak lalu menyebabkan mereka terpijak. Kebanyakan mereka terbunuh di kawasan berdekatan kelab malam.

"Kebanyakan mangsa adalah wanita dalam lingkungan 20-an," katanya.

Seorang saksi, Moon Ju-young, 21, mendedahkan bahawa insiden itu sudah dijangka berlaku apabila kehadiran pengunjung didapati 10 kali ganda daripada kebiasaannya.

Tular di media sosial menunjukkan beratus-ratus orang berkerumun dan kaku di lorong sempit dan bercerun sementara pasukan penyelamat cuba menarik mereka keluar dari kelompok tersebut. —Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram