BELUM lagi dapat melupakan nahas meragut nyawa Nurul Nazihah dalam kemalangan tragis di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Sedenak, Kulai, Johor pada Sabtu, terbaharu satu rakaman video memaparkan kemalangan ngeri melibatkan lori dan beberapa kenderaan lain kini tular di media sosial sejak awal pagi Selasa.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran persimpangan menghala ke Kuala Lumpur.
Berdasarkan video yang dikongsikan di halaman Twitter @Thehulkey, kejadian tersebut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang berada di lokasi kejadian.
"Brek lori tidak berfungsi. Simpang Janda baik, Pahang. Innalillahiwainnailaihirojiun. Kemalangan ngeri lori 10 tan," ciapnya.
Turut kedengaran suara seorang wanita penumpang kereta berkenaan menjerit panik melihat insiden tersebut.
"Abang, abang ya ALLAH. ALLAHUAKBAR, abang. Ya ALLAH, " jeritnya.
Dalam video berkenaan menunjukkan sebuah lori meluncur laju sebelum merempuh beberapa buah kenderaan lain di depannya.
Serpihan daripada impak kemalangan itu turut bertaburan di sepanjang jalan.
Difahamkan kemalangan itu menyebabkaan seorang lelaki disyaki pemandu lori berkenaan cedera parah setakat ini.
Video berdurasi kurang seminit itu mendapat lebih daripada 45, 000 tontonan setakat ini.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial, Aiman_Ajis berkata, kemalangan itu berkemungkinan besar disebabkan masalah brek lori tersebut yang tidak berfungsi.
"Rasanya masalah brek tidak berfungsi. Nampak lori itu meluncur, bersangka baik. Pemandu tidak sengaja, dia bukan minta pun kejadian seperti ini," tulisnya.
Menurut _missanonymous pula, kejadian itu berlaku selepas Terowong Genting Sempah.
"Ini kan baru lepas terowong, memang bukit ni cerun. Kalau yang dah biasa bawa dari lepas terowong kena terus tekan brek dah. Kalau tak memang meluncur," katanya.
Belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram