TULAR satu video kemalangan melibatkan sebuah kenderaan merempuh seorang penunggang motosikal dari arah belakang dipercayai berlaku di laluan bertingkat Batu 7, Kota Sentosa di Kuching, Sarawak.
Berdasarkan video yang dimuat naik oleh Kongsi Segala Info di Facebook, pada mulanya kelihatan pemandu terbabit memandu keretanya dengan laju memandangkan jalan tersebut lengang dan kurang kenderaan lain.
Namun ketika melepasi satu selekoh yang gelap, pemandu itu dikejutkan dengan 'kemunculan' seorang penunggang motosikal di depannya.
Lampu belakang motosikal 'rider' Foodpanda itu dipercayai tidak berfungsi, menyebabkan pemandu tersebut tidak nampak kedudukannya di hadapan.
Disebabkan itu, pemandu kereta tersebut gagal menekan brek lalu merempuh penunggang terbabit sehingga motosikal mangsa melekat di bahagian depan kenderaan berkenaan.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta yang terlibat.
Difahamkan kemalangan video yang berjaya dirakam berdurasi satu minit 30 saat tersebut berlaku pada Ahad (16 Oktober).
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen kelihatan rata-rata orang ramai bimbang akan keadaan penunggang tersebut dan ada juga menasihati agar pemandu kereta sentiasa berhati-hati.
"Laju-laju nak pergi mana? Tak tahu siapa yang salah sebab motosikal itu pun lampu tak berfungsi," kata Muhd Johan.
"Tak ada lampu jalan, rider pula tak ada lampu belakang, kereta macam tak puas hati bawa laju macam nampak Elon Musk dekat depan, tolonglah lepas ini berhati-hati," ujar Fadil Ahmad.
"Aku pernah rasa macam mana rasa kena sondol dengan kereta yang perangai macam ini, sakit memang sakit harapnya urusan mangsa dipermudahkan," luah Daud Afendi.
Bagaimanapun, keadaan kedua-dua pihak tidak dapat dipastikan akibat kemalangan itu.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram