"AWAK keluar kereta dulu." Itu kata-kata terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sebelum wanita itu maut akibat terperangkap dalam keretanya yang terbakar selepas kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan pada Sabtu.
Sambil menahan sebak, suami mangsa Redzuan Jamil, 28, berkata dia berjaya dibawa keluar oleh orang awam, sebelum dia dan orang awam cuba pula untuk membawa keluar isterinya yang masih tersepit di dalam kereta.
"Ada kemalangan di hadapan saya dan keadaan tengah sesak ketika itu. Tiba-tiba saya sedar ada impak dari belakang apabila lori lima tan rempuh kereta saya dan dua kereta lain. Saya cuba selamatkan isteri saya dengan memecahkan cermin hadapan dan pintu sebelah isteri saya tapi tak berjaya kerana dia tersepit dekat dashboard dan waktu itu isteri saya masih sedar.
"Selepas itu, tangki kereta saya meletup dan ada orang bawa saya keluar dari situ. Ketika itu saya tak dengar isteri panggil nama saya dan saya rasa mungkin dalam tu tak panas, dia tak panggil nama saya nampak diam sahaja," katanya ketika ditemui di kediaman bapa mertuanya di Kampung Lukut, Johor.
Redzuan, yang mukanya terdapat luka akibat kemalangan, berkata isterinya tidak menunjukkan sebarang kelainan atau perubahan sebelum kemalangan, namun pemergiannya sangat dirasai kerana sepanjang tempoh tiga tahun bersama, mereka tidak pernah berjauhan malah sentiasa menghabiskan masa bersama.
"Tengah hari semalam saya dari rumah di Kota Masai, sebelum ke Kluang jumpa client. Saya dan isteri kemudiannya bercadang nak ke Gelang Patah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya.
Terdahulu, tular video menunjukkan seorang lelaki meraung kesedihan dipercayai isterinya masih terperangkap di dalam kereta yang sedang terbakar di sebuah lebuh raya.
Jenazah wanita berusia 28 tahun itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, pada Ahad.
Terdahulu pada Sabtu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak, pada 7.47 malam.
Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira, manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram