[VIDEO] Tauke kedai runcit kena 'headlock', perompak larikan barang berharga hampir RM10,000


  • Benua
  • Selasa, 25 Okt 2022

Tangkap layar video kejadian rompakan itu yang berlaku pada Isnin.

PIHAK polis masih memburu suspek dalam kejadian rompakan di Tanjung Pinang, dekat Kepulauan Riau Indonesia pada Isnin.

Aksi rompakan yang berlaku di sebuah runcit di Jalan Pelantar Dua sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman tular di media sosial berdurasi satu minit dan 40 saat itu memaparkan, seorang lelaki bertopi keledar keselamatan hitam pada mulanya memasuki kedai tersebut dan menyamar sebagai pelanggan.

Melihat kehadirannya, seorang wanita yang juga pemilik kedai tersebut sempat melayan lelaki tersebut.

Tidak beberapa lama kemudian, seorang lelaki memakai topi keledar keselamatan merah datang dari arah belakang wanita itu dan mengepit kepalanya (headlock).

Wanita itu kemudian dijatuhkan suspek ke atas lantai. Mangsa yang ketakutan menyuruh mereka membawa pergi barang berharga yang ada di dalam kedai tersebut.

Kedua-dua suspek kemudian dilihat keluar dari kedai itu secara bergilir-gilir.

Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Pinang, Asisten Komisioner M.Arsha berkata, mangsa yang dikenali sebagai Yap Song Teng, 50, sedang melayan suspek yang berpura-pura menjadi pelanggan dalam kejadian pukul 4.30 petang itu.

"Kita masih siasat kes ini dan kedua-dua suspek masih dijejaki," katanya kepada pemberita pada Selasa.

M.Arsha berkata, suspek berjaya membawa lari rantai emas, gelang dan cincin yang dipakai oleh mangsa bernilai Rp20 juta (RM6,064).

Katanya, suspek juga membawa lari wang tunai bernilai Rp10 juta (RM3,032) yang diambil dari laci kedai terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram