[VIDEO] Polis buru 2 lelaki belasah pemandu tak sengaja langgar budak


  • 112
  • Selasa, 25 Okt 2022

Tangkap layar memaparkan dua lelaki memukul seorang pemandu kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur.

POLIS sedang memburu dua lelaki selepas dipercayai membelasah seorang lelaki sehingga patah tulang hidung dalam kejadian di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 malam Isnin ketika mangsa tidak sengaja melanggar seorang kanak-kanak yang sedang melintas bersama ibunya.

"Kanak-kanak tersebut dipercayai terkena di bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta jenis Proton Wira yang dipandu mangsa.

"Mangsa kemudian telah menghentikan kenderaan untuk membantu kanak-kanak terbabit sebelum dua lelaki bertindak menumbuk dan menendang bertubi-tubi termasuk merampas kunci kereta milik mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sentul OCPD ACP Beh Eng Lai showing the seized items during a press conference at Sentul police headquarters on Tuesday.—ONG SOON HIN/The StarReporter :Farid

Asisten Komisioner Beh Eng Lai

Tambah Eng Lai, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan pada mata dan patah tulang hidung sementara kanak-kanak terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Selayang akibat kecederaan yang dihadapi. Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

"Polis juga sedang mengesan kedua-dua lelaki yang terlibat bagi membantu siasatan," jelasnya.

Difahamkan, polis turut mengesan ibu dan kanak-kanak terbabit yang telah meninggalkan lokasi sejurus kejadian.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 22 saat memaparkan dua lelaki memukul seorang pemandu kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Rakaman video tersebut mengundang pelbagai spekulasi netizen yang mempertikaikan tindakan dua lelaki terbabit.

"Kena siasat dahulu apa punca kejadian, kesian orang tu kena pukul macam itu," kata Rahman.

"Dengar cerita sebab tak puas hati ada kanak-kanak kena langgar, apa-apa pun tidak perlu sampai pukul orang tu, Naya kalau kena saman," jelas Abdul Solihin.

"Mesti ada sebab dua orang tu marah betul sampai buat macam itu. Apa-apa pun cuba selesaikan sebaik mungkin, tidak perlu bergaduh," luah Puteri Imani. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram