[VIDEO] 13 maut, pesawat pejuang terhempas di Rusia


  • Benua
  • Selasa, 25 Okt 2022

Seorang kru pesawat berkenaan berjaya keluar dari jet pejuang terbabit sebelum ia merempuh bangunan tersebut.

SEKURANG-KURANGNYA 13 terbunuh selepas sebuah pesawat pejuang Sukhoi Su-34 Rusia terhempas ke dalam sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat di kawasan perumahan Yeysk, Krasnodar, Rusia.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, insiden itu berlaku ekoran daripada kerosakan di bahagian enjin jet pejuang berkenaan sehingga menyebabkan ia terbakar.

Pada waktu kejadian, pesawat itu sedang melakukan latihan penerbangan dari lapangan terbang tentera.

Agensi media rasmi kerajaan Rusia, Tass melaporkan, pesawat tersebut merempuh bangunan bertingkat berkenaan sehingga menyebabkan kerosakkan teruk dan kepulan asap hitam menyelubungi awan.

Beberapa keping gambar turut dikongsikan di saluran Telegram Kooperativ dan Associated Press yang menunjukkan seorang kru pesawat berkenaan berjaya keluar dari jet pejuang terbabit sebelum ia merempuh bangunan tersebut.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada 17 Oktober lalu dan video insiden berkenaan mula tular sejak Isnin.

Kementerian Kecemasan Rusia pada Selasa lalu melaporkan, 13 mangsa yang maut melibatkan tiga orang kanak-kanak dan 19 mangsa cedera diselamatkan daripada bangunan berkenaan.

Seramai 410 pasukan keselamatan dikerahkan ke lokasi kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Menurut pihak berkuasa tempatan, hasil daripada siasatan dan rakaman video kemalangan, nahas itu berlaku disebabkan kegagalan teknikal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram